Sabtu, 13 Mac 2010

MEB UNTUK RAKYAT PERAK

IPOH 12 Mac – Dokumen Model Ekonomi Baru (MEB) akan dipamerkan kepada rakyat terlebih dahulu bagi mendapatkan input-input yang relevan sebelum ia dilaksanakan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Ahmad Husni berkata, langkah terbaru itu selaras dengan hasrat kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Menurut beliau, walaupun MEB yang disediakan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) telah siap dan akan dibentang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hujung bulan ini, namun ia hanya akan dilaksanakan setelah mendapat maklum balas rakyat.

“Dokumen MEB yang digagaskan oleh MPEN ini akan kita pamerkan kepada rakyat, kemudian kita akan terima input-input yang relevan oleh anggota masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan agensi kerajaan.



“Matlamatnya supaya bila kita gubal MEB ini, ia akan menjadi milik negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan keperluan sekolah kepada 1,200 murid daripada 30 sekolah rendah Parlimen Tambun di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengumumkan MEB pada 30 Mac ini sebagaimana yang dijadualkan.

Najib berkata, pengumuman secara berperingkat itu melibatkan fasa pertama manakala fasa seterusnya dilakukan serentak atau selepas pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, penggubalan MEB dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini.

Menurutnya, kaedah yang akan digunakan bagi memastikan orang ramai boleh menyalurkan pandangan atau maklum balas seperti yang diharapkan, akan diumumkan kemudian.

“Saluran input akan diumumkan kemudian. Mungkin boleh gunakan kaedah menghantar e-mel atau surat kepada kementerian, apa pun kita akan fikir perkara ini kemudian,” katanya.

Sementara itu, mengulas bantuan yang disalurkan dalam majlis tersebut, Ahmad Husni berkata, ia merupakan antara perancangan pihaknya untuk melonjakkan pencapaian sekolah.

Sekolah-sekolah di Parlimen Tambun katanya, diberi peruntukan RM5,000 untuk menjalankan program motivasi bagi murid-murid tahun enam dan pelajar tingkatan lima.

“Apa yang kita cuba lakukan ini ialah untuk pastikan generasi muda hari ini dalam keadaan bersedia untuk menghadapi semua cabaran pada masa akan datang,” katanya.

MEB: Husni tolak dakwaan

KUALA LUMPUR 12 Mac - Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah hari ini berkata, kerajaan tidak meminggirkan kaum bumiputera dalam Model Ekonomi Baru (MEB) di sebalik dakwaan kuota 30 peratus bumiputera dalam kek ekonomi negara akan dimansuhkan sepenuhnya.
''Kita tidak tinggalkan mana-mana kaum di negara kerana semua kaum adalah penting dalam merencanakan pembangunan negara ini,'' katanya ketika ditemui selepas melancarkan Akaun Mumtaz oleh EonCap Islamic Bank di sini hari ini.
''Sebenarnya kerajaan masih belum menetapkan kaedah tertentu tetapi saya berani menyatakan tiada satu kaum pun yang dipinggirkan termasuk bumiputera.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan pertubuhan-pertubuhan Melayu mengenai nasib dan masa depan orang Melayu dalam MEB yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri pada akhir bulan ini.
MEB didakwa akan memansuhkan 30 peratus pegangan ekuiti bumiputera.
Husni berkata, kerajaan mengambil kira pertumbuhan ekonomi setiap kaum termasuk bumiputera dalam melaksanakan model berkenaan.
Beliau mendakwa pendekatan itu adalah selari dengan perlembagaan negara.
Katanya, pengumuman MEB yang akan dibuat nanti bukanlah satu keputusan sebaliknya ia hanyalah satu rangka untuk dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia.
Husni berkata, seluruh rakyat berpeluang memberi maklum balas dan cadangan berhubung kerangka model tersebut dan pada akhirnya MEB adalah hasil pandangan dan cadangan rakyat Malaysia.
''(Kerangka) model ekonomi itu adalah hasil laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN). Kerajaan akan mempamerkan untuk mendapat maklum balas dan maklumat daripada sektor awam, swasta dan rakyat.
''Hasil daripada maklum balas dan maklumat ini, kita akan menggubal menjadi MEB. Apa yang boleh saya katakan, model ini terhasil daripada idea rakyat Malaysia.
''Transformasi ekonomi ini akan memperlihatkan penglibatan semua, sejajar dengan gagasan 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan','' jelas beliau.