Isnin, 26 April 2010

CERITA BEGINI YANG TIDAK DIGEMARI- KENAPA MASIH BERDEGIL

BN Menang Tetapi Hilang Sokongan Pengundi Cina
HULU SELANGOR, 26 April (Bernama) -- Menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor sebagai kemenangan yang baik, para pemimpin BN berkata parti masing-masing telah dapat menawan hati dan fikiran rakyat di kawasan tersebut.

Namun Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata walaupun menang dengan majoriti 1,725, tetapi pengundi Cina didapati tidak menyokong BN, bukan sahaja dalam pilihan raya kecil itu tetapi juga semasa pilihan raya umum 2008.

"Kita perlu melihat di mana silap kita. Saya akan berjumpa dengan parti-parti komponen untuk membincangkan perkara ini, tetapi kita gembira kerana pengundi India kembali menyokong BN. Begitu juga dengan pengundi Melayu.

"Kita hilang kerusi pada pilihan raya 2008 dengan majoriti kecil 198 undi tetapi kini mengekalkan kembali kerusi dengan majoriti yang lebih besar. Ini menunjukkan rakyat menyambut baik konsep yang diutarakan pucuk pimpinan seperti gagasan 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru," katanya selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor diumumkan di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu di sini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula berkata MCA memerlukan anjakan paradigma bagi mendekati masyarakat Cina yang dilihat tidak begitu memberi perhatian kepada soal kehendak dan keperluan asas.

"Anjakan paradigma ini mesti datang dari pemimpin MCA. Selain itu Hulu Selangor mempunyai masalah dalamannya sendiri. Bagi saya dan pemimpin parti yang lain, banyak perkara yang perlu dilakukan.

"Ia satu lagi isyarat, jika mereka tidak meletak ke tepi perbezaan antara mereka, maka MCA akan menjadi bakul sampah politik atau dinosur politik.

"Kami perlu melihat kembali diri kami, sama ada selepas 50 tahun menumpukan perhatian kepada masyarakat peringkat setempat, kami perlu melihat lebih lagi. Anda boleh pasti bahawa kami akan menjadi lebih vokal selepas ini," katanya.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata walaupun BN menang, tetapi terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani dan diselesaikan.

"Sokongan di kalangan masyarakat Cina tidak bertambah. Apabila kita mula berkempen di sini, tahap sokongan hanya sekitar 12 hingga 15 peratus. Selepas perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) turun menemui rakyat, ia meningkat kira-kira 25 peratus.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu pula berkata partinya perlu menggandakan usaha untuk menarik kembali sokongan pengundi India.

"Ya, kami mendapat sedikit kejayaan dalam memenangi pengundi India. Dalam pilihan raya ini kami mendapat kira-kira 65 peratus sokongan. Ia pernah mencapai 80 peratus sebelum 2008. Kami perlu mencapai sasaran ini," katanya.

Timbalannya Datuk G. Palanivel yang juga bekas wakil rakyat Hulu Selangor sebelum tewas pada pilihan raya 2008 berkata, sementara kejayaan kali ini meningkatkan motivasi BN, ia perlu menilai semula dan memperbaiki kelemahannya.

"Kemenangan ini adalah baik, kita mendapat majoriti yang lebih baik tetapi terdapat kelemahan yang perlu difikirkan," katanya.

Beliau berkata MIC perlu melakukan bedah sasat dan terus berusaha mendapat sokongan pengundi India menerusi pelbagai strategi.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula menyifatkan keputusan pilihan raya kecil itu sebagai kemenangan Najib dan juga kemenangan rakyat Malaysia yang ingin melihat kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.

"Wanita Umno telah menjalankan tugas dengan penuh komitmen, disiplin dan kesungguhan sebagai jentera utama parti dalam menentukan kemenangan ini. Adalah amat penting juga untuk kita tunaikan setiap janji yang telah dibuat," katanya.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemenangan itu menunjukkan rakyat yakin dengan dasar yang di bawa Perdana Menteri berbanding keyakinan mereka terhadap pembangkang.

"Rakyat telah pilih parti yang lebih jamin masa depan, itu tanda pemulihan rakyat dan keyakinan rakyat pada BN. Saya harap ini akan menjadi titik tolak untuk BN untuk pilihan raya kecil yang lain pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA