Isnin, 24 Mei 2010

2 TAHUN DAH BAGI AIR FREE?????

Selangor beri air percuma melalui kupon untuk rumah flat
Harakahdaily   
SHAH ALAM, 21 April: Kerajaan negeri Selangor akan memberikan air percuma melalui kupon kepada penduduk di rumah-rumah flat yang kini belum menikmati 20 meter padu air percuma dari kerajaan negeri Selangor.

Exco kerajaan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, ini adalah penyelesaian sementara yang dibuat oleh kerajaan negeri sehinggalah mereka melakukan migrasi ke meter individu.

Kini terdapat 620 pembangunan pangsapuri kos rendah yang belum melakukan migrasi ke meter individu yang mengakibatkan penghuninya tidak boleh menikmati 20 meter padu air percuma dari kerajaan negeri.

Ia merangkumi 168,479 unit kediaman, kata Iskandar dalam satu kenyataannya hari ini.

"Kerajaan Negeri mahu penduduk pangsapuri-pangsapuri atau pembangunan berstrata yang lain melakukan migrasi ke meter individu. Dengan itu, mereka boleh menikmati skim air percuma 20 meter padu," kata Iskandar dalam kenyataannya.

Walau bagaimanapun, agar mereka yang berpendapatan rendah dapat menikmati skim air percuma ini sebelum migrasi dapat dilakukan, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kupon-kupon yang bersamaan dengan nilai 20 meter padu air kepada penduduk pangsapuri kos rendah.

Kupon-kupon ini akan diedarkan melalui Pesuruhjaya Bangunan atau Commissioner of Building (COB) di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada penduduk melalui pemaju, agen pengurusan, Badan Pengurusan Bersama/JMB atau Perbadanan Pengurusan/MC, kata Iskandar.

"Skim ini akan dilaksanakan di beberapa kawasan perintis terlebih dahulu mulai bulan Jun 2010," katanya.

Menurut Iskandar, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor Kos untuk memberi air percuma kepada pangsapuri-pangsapuri ini dianggarkan RM24,422,715.84.

"Walau bagaimanapun, migrasi kepada meter individu mestilah dilakukan dengan segera untuk penyelesaian jangka panjang," tegas beliau.