Ahad, 23 Mei 2010

22,000 filem DVD bernilai RM90,000 dirampas


Kakitangan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN perak memeriksa 22,000 keping dvd yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Jeram dekat Kampar, pada Jumaat.
Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perak merampas 22,000 filem video cakera padat (DVD) bernilai RM90,000 yang belum diluluskan lembaga penapisan selepas menyerbu sebuah rumah di Jeram, dekat Kampar, Jumaat.
Ketua Cawangan, Ngeh Kiet Fock, berkata hasil serbuan jam 9 pagi itu, pihaknya turut merampas empat komputer penyalin (bunner) serta menahan seorang lelaki Cina berusia 70 tahun dipercayai pemilik rumah berkenaan bagi membantu siasatan.
“Selepas melakukan intipan lebih seminggu, pasukan kita menyerbu rumah dua tingkat terbabit dan menemui 22,000 filem DVD yang belum diluluskan lembaga penapisan.
“Rumah terbabit dipercayai digunakan sebagai pusat pengeluaran dvd sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.
“Kes ini disiasat bawah Seksyen 6, Akta Penapisan Filem 2002 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksima RM30,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita di Ipoh.
Ngeh berkata, kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak setahun lalu.
Katanya, seramai 17 anggota penguatkuasa terbabit dalam serbuan itu yang diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa, Mohd Affandi Abdullah.