Jumaat, 21 Mei 2010

BARU PERINTAH SATU NEGERI DAPIG PASNGOK DAH TUNJUK SAMSENG MACAM SETAN

KUALA LUMPUR 20 Mei - Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan permit ceramah politik tidak akan menghalang UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada terus mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui DAP.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, halangan tersebut tidak akan melemahkan semangat UMNO dan BN untuk memberi penjelasan dan khidmat kepada rakyat kerana yakin masalah itu mampu diatasi.
''Saya fikir memang menjadi lumrah bagi negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang untuk menghalang aktiviti UMNO dan BN kerana mereka khuatir kelemahan kerajaan negeri akan terdedah.
''Tetapi semua itu bukan halangan dan kita akan gunakan premis-premis swasta untuk menyedarkan rakyat Pulau Pinang bahawa mereka sebenarnya ditipu oleh kerajaan pimpinan DAP,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Panglima Tentera Darat yang baru, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas tindakan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng membatalkan permit ceramah politik yang sepatutnya dianjurkan oleh UMNO di Balik Pulau baru-baru ini.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan membatalkan permit di saat-saat akhir itu menunjukkan kerajaan negeri gentar dan takut dengan siri ceramah untuk mendedahkan kelemahan pentadbirannya.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO sehubungan itu meminta pengundi di Pulau Pinang supaya menilai sendiri kegagalan kerajaan DAP mentadbir negeri tersebut bukan sahaja dalam soal politik tetapi juga melibatkan aspek ekonomi dan sosial.
''Dalam soal ekonomi umpamanya, nilai pelaburan langsung asing (FDI) bagi suku pertama 2010 menyusut kepada RM2.2 bilion berbanding RM10.2 bilion pada 2008.
''Malah, banyak kilang yang suatu ketika dahulu dibawa masuk oleh kerajaan BN bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Pulau Pinang kini mulai keluar dan melabur di negara lain,'' jelasnya.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata, beliau akan berbincang dengan pihak-pihak industri pertahanan di Amerika Syarikat (AS) sempena lawatannya ke negara itu nanti agar mereka membuka kilang pertahanan di negara ini.
Menurutnya, langkah itu bertujuan bukan sahaja untuk menyediakan peluang pekerjaan tetapi bagi membolehkan Malaysia menikmati peralihan teknologi khususnya dalam bidang pertahanan.