Khamis, 27 Mei 2010

HAMIDZUN KHAIRUDDIN: Siasat Siapa Biaya Kehidupan Raja Petra

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Gaya hidup pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin yang diisytiharkan muflis, tetapi masih mampu hidup selesa di beberapa buah negara di Eropah menimbulkan tanda tanya.

Bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Hamidzun Khairuddin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Raja Petra dibiayai oleh pihak tertentu yang mempunyai sumber kewangan besar tanpa had.

Katanya, semua orang mengetahui kos hidup di negara-negara Eropah adalah amat tinggi.
"Perkara inilah yang memusykilkan kita. Sebagai seorang yang muflis atau dengan maksud lain tidak mempunyai wang, tetapi masih mampu 'belayar' sehingga ke beberapa buah negara asing dan juga mampu hidup selesa di negara berkenaan.

"Isunya Raja Petra tidak akan mampu berbuat demikian berdasarkan faktor kewangan yang dihadapinya melainkan dibiayai oleh pihak tertentu yang mempunyai sumber kewangan besar, siapa dalang di sebalik semua ini?" katanya kepada Utusan Malaysia

Beliau yang juga seorang peguam mengulas mengenai tindakan Raja Petra yang tidak hadir ke mahkamah walaupun selepas menerima waran tangkap menunjukkan bahawa dia takut untuk berdepan dengan prosiding mahkamah.

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dekat sini semalam menetapkan 11 November ini sebagai tarikh akhir sebutan waran tangkap ke atas Raja Petra dan notis tunjuk sebab kepada isterinya selaku penjamin.

Dia didakwa pada 17 Julai tahun lalu atas tuduhan membuat tohmahan dalam akuan bersumpah yang diikrarkan di Mahkamah Tinggi Sivil 5, Tingkat 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 18 Jun 2008.

Waran tangkap dikeluarkan pada 26 Mei lalu oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas Raja Petra tidak hadir perbicaraan kes terhadapnya yang didakwa memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain.

Ia juga merupakan waran kedua dikeluarkan ke atasnya selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 April lalu mengeluarkan perintah yang sama selepas dia tidak hadir perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan di laman web tersebut.

Tambah Hamidzun, polis perlu menggunakan sepenuhnya kekuatan bagi menyiasat sehingga ke akar umbi dan bukannya sekadar peringkat permukaan sahaja siapakah dalang di sebalik penglibatan Raja Petra itu.

Beliau mengakui Raja Petra merupakan seorang yang licik dan ia telah dibuktikan dengan kejayaannya sehingga kini melarikan diri sehingga mengelirukan kerajaan dan pihak berkuasa.

"Dia adalah penasihat politik kepada tokoh politik yang licik, bermakna dia mestilah lebih licik daripada orang yang dinasihatinya, kalau tidak, mana boleh dia menjadi penasihat.

"Saya yakin 100 peratus dia tidak akan sesekali menyerahkan diri kepada polis melainkan ditangkap selepas dijejaki dengan bantuan polis antarabangsa (Interpol)," katanya yang kini Setiausaha UMNO Bahagian Kapar, Selangor.