Kes Anwar saman Mohd. Saiful Bukhari 23 September
KUALA LUMPUR 27 Mei - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 23 September ini untuk pengurusan kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan atas dakwaan membuat laporan palsu dengan niat jahat menuduh beliau meliwatnya.Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, K. Pavani di kamar beliau dengan kehadiran peguam Jason Tay yang mewakili Anwar dan peguam Zamri Idrus yang mewakili Mohd. Saiful Bukhari.
Zamri yang ditemui pemberita memberitahu, peguam plaintif memohon supaya kes itu disebut semula pada tarikh lain sementara menunggu perbicaraan terhadap Anwar yang didakwa meliwat pemuda itu di Mahkamah Tinggi Jenayah, selesai.
Perbicaraan tersebut akan didengar pada 31 Mei hingga 4 Jun ini selain tarikh yang telah ditetapkan selama sebulan mulai 2 hingga 30 Ogos ini.
Ketua Pembangkang itu selaku plaintif memfailkan saman terhadap Mohd. Saiful Bukhari yang dinamakan sebagai defendan bagi menuntut gantirugi pada 30 Jun 2008.
Menurut pernyataan tuntutan Anwar, pada 28 Jun tahun yang sama, defendan telah membuat satu laporan polis yang mendakwa dirinya diliwat dua hari sebelum itu oleh beliau.
Dalam laporan tersebut, kata plaintif, defendan dengan niat jahat dan sebab yang tersembunyi telah memburuk dan merosakkan (imej) beliau dari segi politik.
Anwar mendakwa, perkataan-perkataan dalam laporan itu bermakna dan difahami sebagai beliau terlibat dalam perlakuan seks luar tabii, seorang homoseksual, melakukan perbuatan jenayah di bawah Seksyen 377A dan 377C Kanun Keseksaan serta melakukan kesalahan yang bertentangan dengan prinsip agama Islam.
Sementara itu Mohd. Saiful Bukhari dalam pernyataan pembelaan pada Mei tahun lalu menyifatkan, laporan polis itu adalah wajar dan sekiranya tidak benar maka pendakwaan tidak akan mendakwa plaintif atas tuduhan meliwat.