Rabu, 30 Jun 2010

KEGIATAN KOKURIKULUM ELEMEN PENTING DALAM PENILAIAN PELAJAR


Kokurikulum mungkin diambil kira dalam menilai pencapaian pelajar sekiranya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.



Beliau berkata bagaimanapun kerajaan perlu membuat penilaian terperinci dan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.

Muhyiddin sebelum ini menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan memansuhkan UPSR dan PMR pada masa akan datang kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Antara kemungkinan yang sedang dikaji ialah UPSR dan PMR akan hanya diteruskan sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Alimuddin berkata kementerian itu sedang mengumpul maklum balas daripada semua pihak terlibat sebelum satu sesi meja bulat diadakan bagi membincangkan cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.

"Kami akan menjemput pelbagai pihak antaranya parti politik bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan memansuhkan UPSR dan PMR," katanya.