Sabtu, 10 Julai 2010

DAP SUDAH BERSEDIA UNTUK MENAWAN PUTRAJAYA- PAS SYOK SENDIRI DAN UMNO MASIH BERMIMPI

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan DAP mendahului pendaftaran pengundi baru di negeri-negeri Pulau Pinang, Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan sepanjang Mei lalu; sementara UMNO mendahului di Terengganu, PAS di Kelantan dan PKR di Wilayah Persekutuan.

Secara keseluruhannya, DAP mendahului dengan 13,174, diikuti UMNO (7,591), PAS (4,344), dan PKR (2,281). MCA, MIC dan Gerakan mencatatkan bilangan yang cukup rendah. Gerakan, sebagai contoh, hanya mendaftarkan 75 pengundi baru sepanjang tempoh tersebut.

Melihat kepada statistik ini (dan beberapa statistik lain) saya merumuskan bahawa DAP sebagai sebuah parti politik bukan saja mempunyai misi yang cukup jelas, tetapi juga gerak kerja yang terancang dan terarah. Sementara parti politik Melayu / Islam seperti UMNO dan PAS agak kurang strategik dalam soal ini.

Mereka masih terikat dengan politik lama berasaskan emosi. Sementara tidak salah untuk PAS bergantung kepada isu Islam untuk meraih undi dan UMNO memperjuangan hak-hak Melayu, politik baru menuntut pemimpin dan parti-parti politik untuk mengambil pendekatan yang lebih strategik. Aspek-aspek strategik ini termasuklah pengurusan pengundi dan pengurusan isu.

Mungkin ada yang berhujah bahawa PAS akan meraih keuntungan daripada pendaftaran pengundi DAP. Ya, memang betul sekiranya dilihat dalam jangka masa pendek. Dalam jangka masa panjang, PAS akan dilihat sebagai sebuah parti yang terpaksa bergantung kepada DAP untuk menang dan ini tidak baik untuk parti tersebut. Sebagai sebuah parti politik, PAS harus menunjukkan kemampuannya menguasai pengundi dan itu boleh meningkatkan martabatnya dalam Pakatan Rakyat.

Kesilapan paling besar yang berlaku dalam UMNO ialah di sesetengah bahagian, jentera pilihanraya tidak bergerak sehinggalah di saat-saat akhir. Tatkala itu, sudah terlewat untuk melakukan sesuatu yang strategik seperti pendaftaran pengundi.

Dalam hal ini saya fikir UMNO dan PAS kalah. Bukan kalah kepada satu sama lain, tetapi sama-sama kalah kepada DAP!