KUALA LUMPUR: Bermodalkan janji manis, seorang penjenayah yang menyamar kononnya VIP bergelar Datuk berjaya menipu beberapa mangsa dengan menawarkan tanah kosong untuk dijual dengan harga tidak munasabah berbanding harga pasaran semasa.
Difahamkan, penjenayah licik terbabit berupaya memperdaya mangsa dengan dakwaan kononnya tanah kosong terbabit milik Umno Perak dan sengaja mahu diagih dan dijual pada harga murah kepada orang ramai.
Taktik suspek ternyata meyakinkan mangsa supaya mengeluarkan wang simpanan hingga puluhan ribu ringgit semata-mata untuk memilik beberapa lot tanah yang hakikatnya tidak pernah wujud.
Penipuan terbabit didedahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani selepas seorang mangsa juga pegawai Plus Expressways Berhad (Plus) kerugian RM9,600 apabila diperdaya membeli dua lot tanah kosong tidak wujud di Kamunting, Perak.
Menurutnya, mangsa berusia 46 tahun dan berasal dari Taman Batu Permai, di sini, mula diperkenalkan kepada Datuk terbabit oleh seorang rakan di sebuah hotel di Jalan Putra, di sini, pada Mac 2008.
“Dalam pertemuan itu, suspek mendakwa beberapa lot tanah kosong kepunyaan Umno Perak di daerah Kamunting mahu dibahagikan dan dijual kepada orang ramai dengan harga RM4,800 bagi setiap lot. “Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu menyerahkan wang tunai RM9,600 kepada Datuk berusia 52 tahun itu sebagai bayaran membeli dua lot tanah kosong berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, selain mangsa, beberapa lagi rakan mangsa turut diperdaya Datuk palsu terbabit selepas turut membuat pembayaran wang puluhan ribu ringgit kepada suspek.
“Suspek berjanji akan menguruskan dokumen pemilikan semua tanah terbabit secepat mungkin. Bagaimanapun, mangsa mula curiga apabila tanah dijanjikan itu gagal diperoleh walaupun hampir tiga tahun pembayaran dibuat.
“Seorang rakan mangsa membuat semakan mengenai status tanah terbabit di Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang, Taiping baru-baru ini,” katanya.
Menurutnya, mangsa terkejut dimaklumkan lot tanah berkenaan tidak wujud seperti didakwa suspek sebelum ini. Beliau berkata, menyedari mereka ditipu, pegawai Plus terbabit segera membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, beberapa hari lalu.
“Semua mangsa diperdaya kira-kira RM86,400 turut membuat laporan polis berhubung penipuan terancang terbabit sebelum polis membuka siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas jenayah penipuan.
“Suspek kini diburu polis dan orang ramai yang pernah ditipu atau dijanjikan tanah harga murah diminta membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, polis percaya suspek berusia 50-an menyamar sebagai Datuk dan ahli politik masih aktif memperdayakan orang ramai menggunakan modus operandi sama.