Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini memberi kata dua (AMARAN) kepada Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Mahmood Adam dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berhubung insiden membabitkan 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen KLIA semalam.
"Saya langsung tidak puas hati. Apa jua sistem yang kita wujudkan, apa jua penekanan yang kita berikan, apa jua undang-undang yang kita pinda, kalau kerja pegawai saya di KDN dan Jabatan Imigresen tidak sampai kepada tahap yang memuaskan, maka isu-isu sebegini akan berterusan.
"Kalau satu kes, mungkin kita kata ada kesilapan, kita boleh maafkan.
Dua tiga kes kita mungkin kata kecuaian. Tetapi kalau berulang kali, saya tidak boleh dengar lagi alasan terlalu ramai sangat orang di pusat tahanan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.
Beliau mahu Mahmood dan Abdul Rahman mengambil tindakan terhadap pegawai yang bertugas ketika kejadian itu selain memastikan sistem pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan di depot berkenaan.
Dalam kejadian pada 3 pagi semalam, tahanan berusia 25 hingga 40 tahun itu disyaki memotong jeriji dua pintu halangan sebelum menyusup keluar.
Sebelum ini, pada 27 April lalu, 12 warga Afghanistan dan empat warga Myanmar berusia 22 hingga 48 tahun menyusup keluar melalui ruang jeriji yang dipotong sebelum melarikan diri dengan memanjat pagar pusat tahanan sama.
Mengulas lanjut, Hishammuddin mahu tindakan tegas diambil bagi menyelesaikan masalah itu supaya ianya tidak berulang.
Beliau berkata, jika ada kekurangan atau kelemahan di depot berkenaan, perkara itu perlu dimaklumkan kepadanya supaya tindakan susulan dapat diambil.
"Saya penat buat pindaan terhadap akta berhubung kait pemerdagangan manusia.
Tetapi bila mereka (pesalah) dibawa ke pusat tahanan, kita dengar berulang kali mereka dapat larikan diri.
"Kalau perkara ini tidak dibendung dan diambil serius sama ada di KDN atau Jabatan Imigresen, maka isu ini tidak akan selesai. Maklumkan kepada saya kalau ada kekurangan. Tetapi kalau mendiamkan diri dan perkara seumpama ini berlaku, mereka kena jawab kepada saya," katanya.