Selasa, 24 Ogos 2010

MAYC: Punca Peristiwa13 Mei patut didedahkan kepada pelajar

SEKALI lagi isu hak dan keistimewaan Bumiputera ‘disentuh’ kaum lain. Bagaimana MAYC melihat perkembangan ini daripada kaca mata generasi muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara?

Saya rasa tidak salah pemimpin kaum lain menyentuh hak istimewa Bumiputera, terutama jika mengajukan cadangan membina.



Tetapi cara atau kandungan diajukan harus menghormati perasaan masyarakat Bumiputera. Sebarang usaha mengurangkan apa yang difahami oleh Bumiputera sebagai hak, akan sentiasa dipandang serong.

Dr Chua pula mungkin memikirkan yang cadangan memberi diskaun atau harga khas untuk Bumiputera sebagai timbal balas pengurangan sasaran 30 peratus DEB sesuatu usaha membina.

Malangnya, ini juga boleh menimbulkan kegusaran. Contohnya saya sebagai belia Melayu agak terguris apabila dikatakan sasaran ekuiti kaum saya harus lebih rendah. Sudahlah itu, dicadangkan diskaun pula seolah-olah Bumiputera ini kumpulan subsidi.

Apakah isu hak dan keistimewaan Bumiputera difahami dan diterima generasi muda bukan Bumiputera mengikut pemerhatian MAYC selama ini. Apa persepsi mereka dalam isu ini.

Sebenarnya banyak kekeliruan mengenai asal usul hak keistimewaan orang Melayu dan lebih-lebih lagi mengenai peruntukan DEB untuk meningkatkan ekonomi semua rakyat demi kemakmuran sejagat.

Contohnya, terlalu ramai belia memikirkan DEB menolong Bumiputera saja. Mereka tidak mengetahui peruntukan untuk membantu kaum India yang juga menghadapi cabaran ekonomi.

Malah pemaju hartanah terkemuka, Presiden dan Ketua Eksekutif SP Setia Bhd, Tan Sri Liew Kee Sin baru-baru ini mengakui masyarakat Cina masih menerima manfaat pembangunan ekonomi sepanjang zaman DEB rancak dilaksanakan.

Saya rasa, sebab utama kenapa hak istimewa terutama sekali DEB menjadi isu sensitif yang kerap menimbulkan kekeliruan belia kerana kerajaan mungkin terlalu berhati-hati dalam hal pendidikan sejarah di sekolah.

Contohnya Peristiwa 13 Mei 1969 walaupun ia diakui sebagai titik hitam, tiba masanya dikupas lebih terperinci supaya orang muda diajar sejak di bangku sekolah mengenai bahayanya ketidaksamarataan ekonomi boleh mengancam ketenteraman negara.

Amnya belia tidak menafikan darurat komunis ancaman kepada kemakmuran negara. Ramai menginsafi dan bersyukur negara selamat daripada ancaman pada masa itu kerana pendidikan mengenai keburukan ancaman komunis, disokong pula propaganda media antikomunis dari luar, begitu terperinci serta sampai ke pemahaman belia.

Kini China sebagai negara komunis mungkin hebat membangun sementara Vietnam masih dikagumi kerana berjaya mengalahkan kuasa besar Amerika Syarikat, tetapi belia Malaysia masih bersyukur kita bukan komunis seperti China dan Vietnam.
 
Saya sebagai Presiden MAYC menyarankan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pelajaran mempertimbang untuk memperincikan pendidikan penyebab 13 Mei dan usaha mengelak ia berlaku, termasuk DEB.

Ia harus diperkenalkan sebagai pendidikan wajib di sekolah menengah. Mungkin diperkenalkan sebagai sebahagian kurikulum perpaduan 1Malaysia kerana gagasan ini akan berjaya jika kita mengambil kira pahit manis sejarah hubungan antara kaum.

Mengapa sistem kuota 30 peratus ekuiti Bumiputera perlu dikekalkan dan apakah erti keistimewaan ini kepada generasi muda Malaysia hari ini.

Seperti saya katakan, sebenarnya generasi muda sekarang agak bingung mengenai maksud 30 peratus ekuiti ini. Tambah lagi, fokus terhadap 30 peratus ekuiti mengalihkan pandangan daripada unsur DEB yang lebih relevan kepada golongan muda, seperti peluang mendapatkan pendidikan terutama sekali tetapi tidak terhad ke universiti.

Contohnya, jika belia diberitahu MRSM akan dimansuhkan, ini akan membawa lebih banyak bantahan. Namun sebagai belia Melayu, saya juga hairan kenapa sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera begitu dipersoalkan oleh MCA dan dulunya DAP. Padahal, Bumiputera merangkumi lebih 60 peratus rakyat negara ini.

Salahkah sasaran ekuiti untuk Bumiputera iaitu kurang daripada separuh jumlah Bumiputera. Saya rasa lebih adil dan memandangkan pecahan ekonomi kaum Cina jauh lebih tinggi daripada peratusan rakyat Cina.

Persoalan sebegini daripada pemimpin kaum Cina khususnya, tidak membina, malah menimbulkan tanda tanya berhubung niat sasaran berkenaan dipersoalkan.

Saya ternanti-nanti cadangan pemimpin kaum India, supaya kaum itu juga diberi sasaran ekuiti. Rasanya, memandangkan peratusan rakyat India, tak salah mana-mana pemimpin menyarankan sasaran ekuiti paling kurang lima peratus untuk kaum India.

Saya juga rasa tidak salah sasaran berasingan diwujudkan untuk Bumiputera Sabah dan Sarawak. Mungkin 10 peratus?

Ini semua sasaran mencapai keadilan ekonomi di Malaysia. Apabila negara semakin membangun, inilah peluang untuk memastikan bukan kumpulan kaya saja semakin kaya, tetapi semua mendapat manfaat. Lebih penting ialah pengagihan kemakmuran ekonomi lebih sekata. Ini harus dibincangkan, bukan setakat sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera.

Apakah rasional MCA menimbulkan isu sistem kuota 30 peratus ini. Apakah kemungkinan langkah ini diambil kerana bimbang ditolak pengundi Cina pada pilihan raya umum akan datang atau satu ugutan.

Saya fikir lebih baik ditanya kepada MCA. Namun saya rasa tak logik jika pemimpin MCA berharap ini membantu mereka menjadi lebih sedia diundi.

Pengundi mana yang untung dengan cadangan ini? Ia tidak jelas, tetapi yang terlihat pengundi Melayu rugi. Mahukah Melayu mengundi calon MCA jika dasar MCA merugikan mereka? Wallahualam. Sudah pasti Dr Chua Soi Lek lebih berpengalaman dalam berpolitik daripada saya.

Ada pihak mempersoalkan rasional kaum Cina membangkitkan kuota 30 peratus ekuiti Bumiputera kerana pada realitinya, mereka masih menguasai sektor ekonomi. Apa pandangan MAYC. Apakah kaum Bumiputera masih perlu dibantu untuk menguasai sektor ekonomi.

Saya sebenarnya terdidik dalam bidang ekonomi dan boleh saya katakan di sini yang usaha ‘penguasaan’ ekonomi oleh mana-mana kumpulan amnya tidak akan membuahkan hasil yang mapan mahupun paling lumayan untuk masa hadapan.

Sebarang usaha untuk menguasai sektor ekonomi memberi gambaran kuasa digunakan untuk mengehadkan perkembangan ekonomi sesuatu kumpulan. Ini adalah usaha yang tidak membina. Untuk sesuatu ekonomi itu maju, ia haruslah digerakkan bersama.

Untuk Bumiputra dan masyarakat Malaysia amnya, pengagihan nikmat ekonomi harus menjadi tumpuan, bukan penguasaan ekonomi oleh pihak tertentu.

Sebagai pemimpin MAYC, saya lebih suka melihat ahli kelab gabungan MAYC sama hebat kemakmurannya tak kira Melayu, Cina, India, dalam atau luar bandar, Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.

AKHRAMSYAH SANUSI
Presiden MAYC