Polis akan memanggil Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merekodkan keterangannya bagi membantu siasatan berhubung penggunaan gambar Sultan Johor Sultan Ibrahim, pada kain rentang bagi satu ceramah parti itu di sini bulan lalu.
Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, keterangan Anwar akan diambil dalam masa terdekat supaya siasatan mengenai penggunaan gambar itu dapat diselesaikan segera.
"Polis sudah merekodkan keterangan daripada 52 orang individu termasuk penduduk tempatan dan ahli politik antaranya Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ibrahim berkata, polis merampas empat kain rentang yang dipasang di Semerah, Parit Sulong, Sri Gading dan Rengit.
Ketika bertitah pada majlis penutupan Kembara Mahkota Johor Bermotosikal di Kota Tinggi minggu lalu, Sultan Johor melahirkan rasa murka terhadap tindakan menggunakan gambar baginda itu kerana perbuatan itu boleh memecah-belahkan masyarakat. -Bernama
Sebelum ini PKR menuding jari kepada Umno dan juga Bekas Menteri Besar Johor, kata mereka perbuatan tersebut adalah satu usaha jahat Umno dalam mensabotaj pembangkang.