Khamis, 21 Oktober 2010

Bahagian 2 teks ucapan

Tanggungjawab moral dalam pengurusan kaum

Saudara dan Saudari sekalian,

36. Lanjutan dari itu, seperkara yang amat mustahak untuk diingat adalah, dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara, kita memerlukan corak kepimpinan yang betul dan pemahaman jujur pada wacananya, apatah lagi dalam sebuah negara bitara seperti Malaysia.

37. Sehubungan itu, bersyukurlah bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kekal stabil serta bebas daripada sebarang konflik besar. Sayugia, setiap orang perlu menerima hakikat bahawa kepelbagaian kaum adalah satu rahmat dan aset anugerah dari Allah SWT.

38. Sesungguhnya, kemajmukan adalah sumber kekuatan kita selama ini. Begitulah dunia tercipta dan akan kekal selamanya begitu. Apa yang mustahak adalah, bagaimana kita memanfaatkan aset ini bagi menunjangi kejayaan negara.

39. Berkait perkara itulah, semua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada, kerana sekalipun kita mengamalkan tindakan afirmatif untuk menjamin keadilan sosial, kejayaan seseorang nyatanya, hanyalah dihadkan oleh kreativiti, inovasi dan kesanggupan individu itu sendiri, untuk bekerja keras serta mengambil risiko.

40. Misalnya, kaum bukan Bumiputera, setelah 39 tahun dasar afirmatif dilaksanakan, masih lagi merupakan kaum yang memiliki kekayaan terbesar. Kita menyedari, ada pihak mendakwa tindakan afirmatif itu sendiri yang mendatangkan kesusahan, akan tetapi, bukti empirikal menunjukkan sebaliknya. Sebenarnya, sikap penerima bantuan, cara pelaksanaan dan landskap di mana tindakan itulah yang menjadi punca masalah.

Saudara dan Saudari sekalian,

41. Sementelahan itu, apabila ada pihak yang mula mempersoalkan tentang kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dilindungi dengan hak-hak tertentu, ianya telah menimbulkan kegusaran serta rasa tidak puas hati, kepada kita yang amat terkenal dengan sikap dan sifat akomodatifnya. Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu.

42. Sayang seribu kali sayang juga, setelah lima puluh tiga tahun kita merdeka, hari ini, rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-teras utama perhubungan kaum yang wujud selama ini. Jika polemik nasional ini tidak ditangani dengan baik, kita berasa amat cuak, kerana, ia berkemungkinan menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

43. Sebab itulah, saudara dan saudari, kita perlu sentiasa berwaspada, kita perlu terus mengingatkan diri masing-masing bahawa, kejayaan pertiwi tercinta sememangnya dimungkinkan oleh sumbangan, idea dan pengorbanan pelbagai kaum. Hakikatnya pun, ia bukanlah jasa, mahupun ikhtiar ekslusif satu kaum semata-mata, akan tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat oleh semua kaum secara kolektif.

44. Apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini, ketegangan akan timbul apabila, sejarah dienteng, atau, dilupakan akibat perjalanan masa, atau juga, apabila ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula semua itu, supaya sesuai dengan kepentingan serta agenda sempit kelompok masing-masing.

45. Kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis, menangguk di air keruh, sebenarnya musang berbulu ayam, bermain api permusuhan dan memanipulasi keadaan, sangat ditolak dalam kepimpinan. Mereka tidak layak digelar pemimpin.

Saudara dan Saudari sekalian,

46. Awaslah, awaslah kita, terhadap saudagar mimpi yang membuai dengan dogengan, menjadi petualang memintal kepalsuan, menenun kebencian, memperdagang fitnah, mengadun madu dengan tuba, meleceh pengorbanan dan tanpa segan silu, mengajak kita menikmati buah khuldi yang bergentayangan di pohon rendah, sehingga sanggup menggadai segala-galanya.

Saudara dan Saudari sekalian,

47. Bertolak dari situlah, bagi bangsa Melayu khususnya, perasaan mereka amat terhiris kerana ikrar budiman yang telah dipateri di ambang merdeka kini diungkit kembali. Sedangkan, berpayung sumpah dan janji itulah kita sanggup membuat pengorbanan terbesar bagi mencapai sebuah kemerdekaan, yakni berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum yang lain.

48. Serentak dengan itu, penerimaan kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip jus sanguinis yakni hak darah dengan sekelip mata telah mentransformasikan landskap sosiopolitik Tanah Melayu untuk selama-lamanya.

49. Dek kerana itu, kita tidak boleh lagi hidup terpenjara kisah nan lalu tanpa melihat ke hadapan. Pokoknya di sini, sepertimana prinsip keutuhan sebarang kontrak yang dibuat di bawah lembayung kedaulatan undang-undang, jika tidak dihormati, maka tiadalah kepastian, walaupun bagi perkara-perkara asas yang telah dipersetujui bersama. Analoginya di sini, jika ia berlaku dalam bidang perniagaan, maka pihak yang berbuat demikian akan mendapati diri mereka, tidak lagi dipercayai oleh sesiapapun, apabila memungkiri janji.

50. Seterusnya lagi, jika ikrar setia yang telah diwaad, dilanggar sewenang-wenangnya apabila tidak sesuai dengan selera atau kepentingan tertentu, akan hancurlah kepercayaan dan rapuhlah rasa penghormatan di antara kita, kerana, masing-masing akan dihidapi penyakit kesangsian terhadap motif, kejujuran serta keikhlasan terhadap satu sama lain. Hal yang membarah sebegini berbahaya, saya ulang, amat berbahaya kepada sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia kerana ia berpontensi menghancurkan segala apa yang dibina sejak lebih lima puluh tahun yang lalu.

51. Satu hal yang pasti, timbal balas dipersembahkan bukan sahaja oleh bangsa Melayu, tetapi juga oleh kaum lain. Ia dimanifestasi melalui muafakat murni iaitu bagi memperoleh kerakyatan, orang bukan Melayu telah sanggup menerima prinsip hak keistimewaan sebagaimana termaktub di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kemudian itulah, kewarganegaraan Malaysia pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,

52. Inilah sebenarnya asas teras kepada kontrak yang telah dimuafakat bapa-bapa pengasas mewakili kaum masing-masing di ambang kemerdekaan. Ia kemudiannya telah dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Mahu tidak mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan.

53. Kini pula, sebagai generasi kepimpinan mutakhir, kita telah diamanahkan untuk menghadapi tuntutan zaman monumental ini sebagaimana generasi kepimpinan pertama yang telah dihadapkan dengan cabaran untuk membina asas kepelbagaian. Oleh itu, adalah amat tidak bertanggungjawab jika kita memilih jalan berpeluk tubuh dan duduk bersimpuh tanpa berbuat apa-apa. Lebih teruk lagi jika ditanggungkan pula beban ini kepada generasi kepimpinan akan datang.

54. Demikian itulah, kita harus membina landasan baru perhubungan kaum di Malaysia dengan mengambil kira dua prinsip penting. Pertamanya, ia haruslah berasaskan masa depan yang dikongsi bersama dan kedua, ia harus mengambil kira faktor sejarah tanpa mengenepikan realiti hari ini serta potensi masa depan.

Saudara dan Saudari sekalian,

55. Sememangnya, manusia tidak wujud dan hidup dalam sebuah utopia. Manusia tidak dapat lari dari realiti dan persekitaran. Malaysia adalah sebuah negara berasaskan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sepertimana ideologi kebangsaan yang ternukil dalam panca prinsip Rukun Negara.

56. Seperti yang kita maklum, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezapan kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

57. Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa, pindaan terhadap artikel-artikel ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181.

58. Sehubungan hal ini, hendaklah kita mengetahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini, sama ada tentang kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik. Ini kerana, dari segi perundangan, peruntukan-peruntukannya sudah pun tersurat dan sekaligus terpateri kemas.

59. Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-Raja Melayu. Dalam kata laim, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung.

60. Di sebalik semuanya, suka tidak suka, ada sebab yang amat kuat mengapa perkara-perkara ini tidak dibenarkan untuk dipinda kecuali dengan perkenan Majlis Raja-Raja. Hikmahnya, adalah supaya peruntukan-peruntukan tersebut di letakkan luar daripada forum perbincangan. Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan primordial instinct atau naluri asal wujud antara etnik.

61. Di atas segalanya, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa sejarah telah menunjukkan tidak kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tinggi tahap toleransi, seandai dan sekiranya naluri asal wujud ini tidak diurus dengan baik, kesannya kelak, kita mungkin menyaksikan kezaliman yang sangat dahsyat bakal terjelma, dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sifat tabie manusiawi itu sendiri.

62. Apa yang saya perkatakan ini tidak menghairankan. Di abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi holocoust di Benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda. Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya, jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini.

63. Akibatnya, akan lebih pantas terutama dalam dunia tanpa sempadan dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berkembang. Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus.

Saudara dan Saudari sekalian,

64. Merentasi situasi ini, sebagai orang Melayu yang merupakan kaum majoriti, kita mempunyai tanggungjawab kepimpinan untuk ditunaikan. Satu tanggungjawab moral kepimpinan yang melangkaui kepentingan kaum kita sendiri. Tanggungjawab ini secara alami telah tertakdir dan tertanggung ke atas orang-orang Melayu disebabkan kita adalah dalam rumpun majoriti yang membentuk 67 peratus daripada penduduk Malaysia. Seperti yang telah saya bicarakan di awal ucapan tadi, ketentuan ini disahihkan lagi oleh faktor sejarah serta sikap dalaman bangsa itu sendiri.

65. Begitulah, suratan satu bangsa yang terpilih menerajui kemajmukan. Kepercayaan yang terus-terusan diberi oleh kaum-kaum lain sewajibnya menjadi perangsang agar orang-orang Melayu sentiasa memperbaiki diri dan terkedepan sebagai pemudahcara antara kaum.

66. Dalam pengertian lain, di arus kemodenan dan kerancakan globalisasi, soal hak, harga diri dan asal-usul tidak lagi membawa apa-apa makna jika bangsa kita mundur dan ketinggalan. Secara otomatis, rasa hormat, rasa menaruh harap oleh pihak lain kepada kita juga akan luntur. Dek yang demikian, pada saat ini juga kita perlu bingkas bangun dan berlari deras bagi menggapai justifikasi peranan umat Melayu dengan penuh berhemah lagi profesional.

Gerak kerja Umno

Saudara dan Saudari sekalian,

67. Menjengah ke hadapan, sebermula Perhimpunan Agung Mac 2009, pelbagai rencana dan perancangan rapi serta strategi telah disusun. Jadinya, kita tidak boleh lagi berlengah-lengah dan membuang masa. Mengatasi semua perkara, tumpuan kita sekarang ini adalah terhadap gerak kerja parti. Gerak kerja Umno sebagai sebuah parti siasah mesti berubah. Kendati begitu, Umno harus kekal berpegang teguh kepada tujuan asalnya, sebagai sebuah parti Melayu massa yang mampu mengungkap aspirasi bangsa.

68. Laksamana Hang Tuah menyebut, takkan Melayu hilang di dunia. Begitulah, bangsa Melayu terutamanya dirantau ini, telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka duka. Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu Melaka. Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah dijajah Portugis.

69. Ironisnya, banyak pihak hanya menumpukan kepada runtuhnya empayar Melayu ini kerana pengkhianatan dari dalam. Ya, memang benar ini sebahagian sebabnya. Tetapi fakta yang tidak kurang penting untuk diambil iktibar ialah ehwal tentera kedua-dua pihak, masing-masing ternyata memperlengkap persenjataan peperangan untuk era yang berlainan.

70. Maksud saya, pihak Portugis menggunakan senjata yang moden untuk zamannya, dengan senapang dan meriam sedangkan pertahanan Melaka waktu itu masih menggunakan senjata yang sesuai dengan zaman yang telah berlalu. Walaupun keris, tombak dan lembing menjadi lambang kepahlawanan, namun ia ternyata tidak mampu menewaskan bedil dan meriam. Begitulah resam dan ketetapan, sunnah putaran alam.

Saudara dan Saudari sekalian,

71. Oleh yang demikian amatlah mustahaknya Melayu alaf ke-3, Melayu abad ke-21 dipersediakan untuk eranya. Dari begitu obsesi terhadap hak, sebaliknya Melayu abad ke-21 wajib mempersiap siagakan dirinya untuk memanfaatkan hak yang ada. Apa gunanya kuota, rizab dan permit jika segalanya dipersiakan. Apa gunanya peluang jika ia digadai demi keuntungan jangka pendek.

72. Lalu, Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia adalah hak mereka untuk berjaya. Mahu tidak mahu, Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan.

73. Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu...... seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik. Melayu...... seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu...... mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa.


74. Justeru, saya sebagai Presiden Umno...... tidak mahu..... menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun. Saya sebagai Presiden Umno beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela...... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta, kita tidak mahu...... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang.

75. Dengan tegas, saya ingin ingatkan semua bahawa, pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya.

Saudara dan Saudari sekalian,

76. Kepada semua pihak hendaklah menyedari, bukankah apa yang Malaysia capai selama lima puluh tiga tahun kemerdekaan adalah juga hasil usaha dan penerajuan bangsa Melayu? Lantas, kita menjadi lemas dan rimas dewasa ini, apabila kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperlecehkan pencapaian orang Melayu. Benar sekali, amat mudah bagi lidah tidak bertulang membuat nista. Mereka dengan suka-suka menuduh perkhidmatan awam sebagai lubuk ketidakcekapan.

77. Bersambung
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.