Khamis, 21 Oktober 2010
Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini berkata, pembangunan projek Warisan Merdeka yang mempunyai menara tertinggi di Malaysia, akan dibiayai melalui dana dalamannya sendiri tanpa ‘menyentuh’ langsung dana pemegang unit amanahnya.
Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (gambar) berkata, PNB, sebuah firma pelaburan terbesar di Malaysia, memiliki dana operasinya sendiri yang dikendalikan secara berasingan dengan portfolio dana para pemegang unit amanah.
‘‘Kami akan menggunakan dana sendiri yang dikumpul daripada keuntungan PNB sejak mula operasi (penubuhannya),’’ kata Hamad Kama Piah dalam satu taklimat tentang projek Warisan Merdeka di sini hari ini.
Pada taklimat itu, beliau menyangkal spekulasi bahawa projek milik PNB akan menggunakan dana amanah saham dan juga dibiayai oleh kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2011 pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa PNB akan membina projek bersepadu melibatkan pembinaan menara setinggi 100 tingkat dengan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, dua bangunan sejarah negara, yang turut terletak di kawasan yang sama.
Keseluruhan projek itu bernilai RM5 bilion, dijangka siap pada tahun 2015.
Hamad Kama Piah tidak menolak kemungkinan PNB mendapatkan sumber pembiayaan lain tetapi ia tertakluk kepada sejauh mana usaha berkenaan mampu memaksimumkan pulangan daripada projek tersebut.
Katanya, projek pembangunan itu yang bakal disepadukan dengan dua bangunan warisan sejarah itu, akan dimajukan oleh PNB dan juga anak-anak syarikatnya tanpa menolak kemungkinan penyertaan mana-mana pelabur asing,
Beliau menambah, projek Warisan Merdeka yang dimiliki sepenuhnya PNB melalui PNB Merdeka Venture, adalah melibatkan pembangunan bercampur berkonsep bangunan hijau, di atas tapak seluas 19 ekar untuk tempoh pembangunan selama 10 tahun.
Katanya, selain menara yang bakal menempatkan ibu pejabat baru PNB, projek yang akan dimajukan dalam tiga fasa, akan turut mempunyai unit-unit kondominium dan kompleks membeli-belah.
‘‘Ibu pejabat PNB sedia ada yang terletak di Menara PNB (Jalan Tun Razak) akan mencapai usia 30 tahun pada 2016 dan ia perlu dinaikkan tarafnya,’’ tambah Hamad Kama Piah.
Beliau menegaskan, projek Warisan Merdeka bukanlah baharu dirancang dan dimasukkan dalam Bajet 2011 tetapi telah dirancang sejak 2004 selepas kawasan tanahnya dibeli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd. pada tahun 2000.
Katanya, sejak itu keperluan projek berkenaan terus dikaji dan Lembaga Pengarah PNB merasakan sekarang adalah masa terbaik untuk melaksanakannya setelah lama tertunda dan ketiadaan banyak projek besar dijangka memudahkan usaha mendapat kelulusan.
Selain itu, kata Hamad Kama Piah, projek berkenaan akan membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau juga berkata, projek itu merupakan usaha PNB menukar kelas aset dan mempelbagaikan portfolio berbanding hanya tertumpu kepada pelaburan ekuiti.
Beliau mengakui projek itu kecil saiznya untuk dilaksanakan selama 10 tahun tetapi menyatakan tempoh masa yang ditetapkan dalam memajukan projek itu adalah strategi ke arah memaksimumkan pulangan.
Hamad Kama Piah menjelaskan, tidak timbul soal projek itu berdaya maju atau sebaliknya berikutan lambakan semasa ruang pejabat kerana sukar untuk menentukan masa yang dianggap benar-benar sesuai.
‘‘Pembinaan projek ini tidak disegerakan sebelum ini bagi mengambil faedah tidak banyak bangunan hijau yang ada,’’ kata beliau.
Hamad Kama Piah menambah, pelaksanaan projek ikonik adalah bertujuan mencetuskan minat ramai terhadap pembangunan di kawasan berkenaan dan serusnya meraih pulangan yang diharapkan.
NOTA KAKI
Pembangkang menjadikan isu ini sebagai modal dalam kempen politik mereka. Persoalannya kenapa tidak failkan sahaja kes di mahkamah atau kalau nak adil lagi sila rujuk ke ICJ.