SUBANG 3 Nov. - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton hari ini melahirkan kekaguman terhadap keupayaan Malaysia mengukuhkan kembali ekonominya selepas dilanda krisis kewangan sejagat.
''Saya kagum dengan pertumbuhan tinggi ekonomi Malaysia yang mampu mengharungi cabaran dengan baik di sebalik turut terjejas dengan krisis ekonomi sejagat.
''Malaysia berjaya kembali dengan kukuh (berkembang tinggi) pada tahun ini,'' katanya.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi sangat diperlukan setiap negara tetapi bentuk pertumbuhan adalah penting dalam memastikan ekonomi mereka kekal mapan.
''Keseimbangan pertumbuhan dalam jangka panjang dan terangkum perlu untuk mengekalkan kemakmuran dan mengelakkan krisis berulang.'' kata isteri mantan Presiden AS, Bill Clinton.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis mengukuhkan kerjasama antara Malaysia Airlines Systems Bhd. (MAS) dengan syarikat-syarikat AS seperti Boeing, Pratt and Whitney dan General Electrics (GE) di sini hari ini.
Hadir sama di majlis itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, Pengerusi MAS, Tan Sri Munir Majid dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz.
Tambah Clinton, cabaran yang di hadapi oleh kepimpinan dan rakyat Malaysia terus meletakkan negara di landasan yang betul dengan pertumbuhan kukuh adalah sangat hebat.
Katanya, Malaysia dan AS mempunyai tujuan yang sama dengan Presiden Barack Obama meletakkan sasaran ke arah menggandakan eksport untuk lima tahun akan datang.
''Kedua-dua negara (Malaysia dan AS) mempunyai asas yang kukuh bagi mengeratkan hubungan ekonomi dengan syarikat pembuatan AS telah melabur sehingga AS$15 bilion (RM46.65 bilion) dan membuka peluang pekerjaan kepada 166,000 rakyat Malaysia.
''Apa yang dilakukan oleh Malaysia dibuktikan oleh ekonomi dinamik dengan membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kemiskinan telah memberikan peluang kepada setiap rakyat memenuhi impian mereka,'' jelasnya yang menamatkan lawatan tiga harinya ke Malaysia hari ini.
Clinton berkata, ia telah menyebabkan AS menerima dengan hati terbuka keputusan Malaysia untuk menyertai perbincangan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik (TPP) yang bakal mempromosi dan berkongsi kejayaan meluaskan pasaran dan membuka peluang pekerjaan kepada negara-negara peserta.
Mengenai perjanjian antara MAS dan syarikat-syarikat AS, Clinton berkata, ia adalah penting kerana MAS akan membeli 50 enjin buatan Pratt and Whitney.
''Perjanjian ini memberi banyak manfaat terutama dalam mencipta pekerjaan berkemahiran dan upah yang tinggi kepada kedua-dua negara.
''Enjin Pratt and Whitney akan dibina dengan kelengkapan dibuat di Georgia, AS, manakala penyelenggaraan enjin akan dilakukan di Malaysia oleh pekerja terlatih tempatan,'' katanya.
Sementara itu, Munir berkata, MAS berbangga dapat bekerjasama dengan Boeing, Pratt and Whitney dan GE yang merupakan tulang belakang kepada operasi syarikat penerbangan itu.
''Kami merupakan syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan penuh pertama di dunia menggunakan B737-800 dengan rekaan dalaman Boeing Sky dan enjin Pratt and Whitney digunakan untuk pesawat A330-300. ''MAS akan mula menerima pesawat A330 pada April 2011, dan kami berpuas hati dengan prestasi enjin Pratt and Whitney serta yakin dengan prestasi enjin yang baru nanti,'' katanya