Khamis, 11 November 2010

Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dah ambil tau ka?

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi sedang menyiasat tindakan University of Wales, United Kingdom menggantung kerjasama dengan Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) yang menawarkan kursus kerjasama ijazah sarjana muda dengan universiti berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan hanya akan membabitkan perjalanan operasi kolej berkenaan sama ada ia menepati syarat yang ditetapkan.

"Memang kita sedang menyiasat perkara itu, jika kolej berkenaan mahu laksanakan sesuatu program adakah ia mempunyai tenaga pengajar yang mencukupi dan layak dalam bidang ditawarkan?

"Jika orang tidak layak dalam sesuatu bidang tetapi disuruh mengajar, maka kita akan ambil tindakan terhadapnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Antarabangsa Pembelajaran Sepanjang Hayat di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Rosna Awang Hashim.

Seminar antarabangsa itu dianjurkan UUM dengan kerjasama dua universiti dari Thailand iaitu Rajamangala University of Technology Srivijaya dan Princess of Naradhiwas University disertai 120 ahli akademik daripada 20 negara.

Menurut laporan dipetik daripada Perbadanan Penyiaran British (BBC), tindakan penggantungan sementara itu dilakukan berikutan kontroversi berhubung kelayakan akademik pemilik kolej berkenaan, Fazley Yaacob yang dikatakan memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana palsu dalam bidang pentadbiran perniagaan.

BBC dalam program 'Week In Week Out: University Challenged' disiarkan kelmarin mendakwa Fazley memiliki PhD palsu dan kini mengendali kolej yang menawarkan kursus sarjana muda dari University of Wales.
Fazley didakwa menerima ijazah daripada European Business School (Cambridge), sebuah institusi yang mempunyai kaitan dengan Universiti Antarabangsa Irish yang didakwa sebagai universiti palsu hasil siasatan BBC pada 2008.

Diminta mengulas dakwaan ijazah palsu dimiliki Fazley, katanya, pihaknya tidak akan mencampuri perkara itu kerana urusan berkenaan hanya membabitkan University of Wales dengan FIC.

Sementara itu, Fazley berkata, beliau sudah meletak jawatan sebagai Pengarah Eksekutif FIC bagi menjaga nama baik University of Wales dan perhubungan antara FIC dengan pihak terbabit.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.