Khamis, 11 November 2010

SADA GAGAL MEMBEKAL AIR DENGAN BAIK KEPADA RAKYAT KEDAH

Seorang sahabat yang baru balik dari Kedah telah menceritakan iklan air yang dibuat oleh Kerajaan Berkebajikan Kedah mengenai kenaikan harga air. Iklan tersebut meletakkan gambar sebotol air mineral dan satu gambar tong drum minyak. 

Kerajaan Berkebajikan membandingkan kenaikan harga air sebanyak 27 peratus adalah sama dengan tong drum tersebut, dimana jumlah atau kuantiti airnya beratus kali lebih murah berbanding harga sebotol air mineral.

Rakan TM menyatakan pada mulanya beliau agak pening dan kurang faham akan iklan tersebut. Setelah meneliti lama baru lah faham. Demikianlah putar alamnya parti berkebajikan dalam memutarbelitkan fakta katanya.


Tarif air di Kedah naik mulai hari ini

ALOR SETAR 30 Sept. - Tarif air di negeri ini akan dinaikkan secara purata 27 peratus berkuat kuasa esok, demikian diumumkan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzmi Din berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan memandangkan kos pengeluaran dan pengurusan air telah meningkat dan tidak seimbang dengan pendapatan.

Menurutnya, kenaikan itu juga wajar memandangkan tarif sedia ada telah diguna pakai sejak 1 Mac 1993 dan sepanjang tempoh 17 tahun itu tiada sebarang kenaikan tarif.

"Semakan dan pelarasan ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan mengikut Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air) (Negeri Kedah) 2010," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kenaikan itu, beliau berkata, bagi kategori T1 iaitu bekalan air untuk rumah, pejabat kerajaan dan badan berkanun, kenaikan adalah 10 sen untuk 20 meter padu air yang pertama, iaitu daripada 40 sen kepada 50 sen.

Penggunaan air daripada 20 meter padu hingga 35 meter padu naik kepada 90 sen berbanding tarif lama 70 sen.

Penggunaan melebihi 35 meter naik kepada RM1.30 sen berbanding 90 sen pada kadar lama.

Sebagai contoh, Adzmi berkata, 206,532 akaun yang menggunakan air sehingga 20 meter padu di negeri ini hanya perlu menambah RM3 berbanding tarif sedia ada.

Pada masa ini, bilangan akaun adalah 506,142 dengan 457,707 akaun adalah pengguna kategori domestik.

Beliau berkata, kenaikan itu juga wajar memandangkan kos operasi dan penyelenggaraan meningkat disebabkan beberapa faktor seperti pertambahan bilangan pengguna, penggunaan air dan kenaikan harga bahan kimia.

Adzmi memberi contoh, kos bahan kimia bagi merawat air yang meningkat daripada RM1.99 juta pada 2003 kepada RM4.7 juta pada 2009.

"Begitu juga dengan kos bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad yang meningkat kepada RM26 juta pada tahun lalu berbanding RM11 juta pada 2003.

"Saya ingin menegaskan, walaupun tarif air ini telah dinaikkan, ia masih belum dapat menampung kos yang ditanggung oleh SADA," katanya.

Adzmi juga meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan kenaikan tarif air itu.

"Ini bukan isu politik tetapi isu perkhidmatan iaitu bekalan air. Kenaikan dibuat untuk memberi khidmat yang lebih baik. Kami berharap masyarakat dapat beri sokongan," katanya.

Beliau mengibaratkan isu itu seperti sebatang pokok yang semakin kurus dan perlu diberi baja baru bagi memastikan ia terus subur.

"Selama 17 tahun pokok ini semakin kurus. Kini tibalah masa kita beri baja (kenaikan tarif) bagi memastikan ia tidak terus kurus tetapi kembali subur," jelasnya.

Sebelum ini, katanya, tarif air di Kedah berada di tempat ketiga terendah di Malaysia.