Ahad, 7 November 2010

Sultan Kelantan menegur penerokaan di Lojing

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V mahu kerajaan negeri Kelantan mengawal segala aktiviti pembangunan di Tanah Tinggi Lojing supaya selari dengan garis panduan kawasan pembangunan khas supaya kawasan tanah tinggi itu terus terpelihara keasliannya.

Baginda bertitah, aktiviti di tanah tinggi itu perlu dipantau bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh serta hakisan yang boleh merosakkan ekosistem tanah tinggi itu.

"Kawalan dan pemantauan aktiviti pembangunan di Tanah Tinggi Lojing hendaklah mengikut garis panduan kawasan pembangunan khas yang telah diwujudkan bagi memastikan pembangunan di kawasan itu tidak menyebabkan berlakunya masalah tanah runtuh dan hakisan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Kali Yang Ketiga (Bajet) Bagi Tempoh Penggal Yang Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Ke-12 di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Titahnya lagi, dengan penubuhan Jajahan Kecil Lojing baru-baru ini akan dapat memantau dan mengawal segala aktiviti pembangunan di tanah tinggi itu dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar.

Sultan Kelantan itu juga gembira dengan tindakan kerajaan negeri yang memberi kerjasama penuh terhadap kerajaan pusat bagi mendapatkan perolehan tanah untuk pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri itu.


"Walaubagaimanapun beta mendapat maklum bahawa lebih daripada 1,086 hektar tanah yang telah dibuat pengambilan balik melibatkan 118 projek membabitkan 16 kementerian sejak dari Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) hingga RMK-9 masih belum dilaksanakan sebagaimana yang dirancang," titah baginda.
Sehubungan itu, baginda mahu semua tanah terbabit diberikan keutamaan khusus dalam pelan pelaburan sektor awam pada RMK-10 ini.

Baginda juga berharap supaya kerajaan pusat dapat meneruskan pelaksanaan pembinaan jalan baru dari Kota Bharu ke Kuala Krai dalam RMK-10 kerana jalan raya sedia ada sudah tidak berkeupayaan untuk menampung jumlah trafik yang meningkat.


Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat dengan cadangan projek pembinaan jalan baru dan menaik taraf jalan Persekutuan yang bermula dari Kuala Krai ke Simpang Pelangai Pahang sejauh 390 kilometer.