Projek infrastruktur yang bakal mentranformasikan sistem pengangkutan awam itu dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) RM3 hingga RM4 bilion setiap tahun hasil pembinaan dan operasinya dari 2011 hingga 2020.
Kerja pembangunan projek akan bermula Julai tahun depan dan mengambil masa lima atau enam tahun untuk disiapkan dalam pelbagai peringkat. Fasa pertama rangkaian projek MRT di Lembah Klang itu akan membabitkan laluan Sungai Buloh dengan Kajang dan melalui pusat banda raya Kuala Lumpur.
Jarak laluan Sungai Buloh-Kajang lebih kurang 60 kilometer dan 35 stesen akan dibina sepanjang laluan itu manakala stesen integrasi akan dibangunkan di lokasi di mana laluan MRT bersilang dengan laluan KTM Komuter, laluan aliran transit ringan (LRT) Kelana Jaya dan laluan LRT Ampang.
Laluan MRT Sungai Buloh- Kajang akan memberi perkhidmatan tren yang efisien kepada 1.2 juta penduduk dan ia akan melalui kawasan padat seperti Kota Damansara, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Bukit Damansara, Cheras, Bandar Tun Hussein Onn dan Balakong. Lebih 400,000 orang dijangka menggunakan perkhidmatan MRT itu setiap hari.
Perkara ini diumumkan Datuk Seri Najib Razak pada sidang akhbar di Pangkalan TUDM di sini, semalam, sebelum berlepas ke Terengganu. Projek itu diluluskan mesyuarat Kabinet kelmarin.
Menghuraikan lebih lanjut, Perdana Menteri berkata, antara RM8 bilion dan RM12 bilion pula dijangka dijana melalui faedah sampingan daripada kerja pembinaan manakala sebanyak RM21 bilion diperoleh hasil impak penambahbaikan secara bertokok GNI setiap tahun pada 2020, selain penambahan nilai hartanah dan kadar produktiviti.
Beliau berkata, projek MRT juga akan memberi 13,000 peluang pekerjaan dalam tempoh pelaksanaannya. Projek itu adalah salah satu Projek Permulaan (EPP) menerusi rancangan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang untuk Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah Program Transformasi Ekonomi Kerajaan.
"Kabinet (kelmarin) memutuskan Syarikat Prasarana Negara Berhad sebagai pemilik infrastruktur projek MRT dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai penyelia projek manakala MMC-Gamuda Joint Venture Sdn Bhd dilantik sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) ," katanya.
Najib berkata, projek MRT dijangka meningkatkan kadar pengangkutan awam berbanding persendirian daripada 12 peratus tahun lalu kepada 50 peratus pada 2020.
Namun, katanya, laluan muktamad MRT serta lokasi stesen masih belum ditetapkan dan kajian pengurusan nilai akan dijalankan untuk menentukan laluan muktamad dengan mengambil kira kadar penggunaan optimum serta nilai hartanah yang maksimum.
Justeru, katanya, kos projek tepat hanya akan dapat ditetapkan selepas kajian itu diselesaikan.
"Harga keseluruhan projek ini masih lagi pada peringkat dihalusi, anggaran awal projek ini dalam 2009 adalah lingkungan RM36 bilion, tetapi ini akan tertakluk kepada perubahan apabila sampai pada masanya. Harga terakhir projek ini bergantung kepada faktor seperti kontrak yang ditawarkan melalui tender terbuka, kenaikan harga barangan dan sebagainya," katanya.
Najib berkata, laluan Sungai Buloh-Kajang dipilih kerana koridor berkenaan tidak mempunyai perkhidmatan pengangkutan awam rel mencukupi.
Laluannya sepanjang 60 kilometer (km) akan menghubungkan Sungai Buloh-Kajang melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur dan mempunyai 35 stesen
Stesen integrasi akan dibangunkan sepanjang laluan ini dan bersilang dengan laluan Komuter Keretapi Tanah Melayu, Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya dan Ampang.
Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dijangka memberi kemudahan kepada 1.2 juta penduduk seperti di Kota Damansara, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Bukit Damansara, Cheras, Bandar Tun Hussein Onn dan Balakong.
Lebih 400,000 orang dijangka menggunakan perkhidmatan MRT setiap hari.  
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.