KAJANG, 25 Dis — Tahap pemahaman konsep 1 Malaysia di kalangan rakyat telah meningkat sehingga 84 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 75 peratus, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata perkara ini dibuktikan menerusi soal selidik yang dijalankan oleh kementerian berkenaan pada pertengahan Jun hingga Julai lepas bagi mengukur tahap kejayaan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Kaji selidik yang dijalankan ke atas 15,353 responden telah menunjukkan 84 peratus menyatakan (1Malaysia) ini perkara baik dan tidak menyanggahi kemudaratan ataupun perpecahan manakala penerimaan terhadap konsep itu sebanyak 72 peratus.
Justeru, kita perlu melihat 1Malaysia ini adalah milik kita...jika kita sayangkan Rukun Negara, Perlembagaan Malaysia, lagu Negaraku dan perjuangan 1 Negara bangsa, kita perlu menghormati konsep itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krimas 1 Malaysia anjuran ahli perniagaan Datuk Seri Vanatiah Anthony dan isteri Datin Seri Elispetoo Sinnappan di Kampung Baru Sungai Chua di sini.
Rais berkata pemahaman terhadap konsep 1Malaysia juga dilihat meningkat berbanding soal selidik ke atas 12,212 responden pada Oktober tahun lepas yang hanya sebanyak 69 peratus dan kesedaran konsep itu sebanyak 82 peratus.
Sehubungan itu, katanya, konsep 1Malaysia perlu dijayakan oleh semua pihak tanpa terhad kepada batasan politik untuk kesejahteraan perjuangan bangsa dan negara.
Beliau berkata amalan rumah terbuka yang dianjurkan oleh masyarakat di negara ini yang dihadiri pelbagai kaum, menunjukkan keharmonian perpaduan yang terjalin meskipun kerajaan Selangor mengetepikan 1 Malaysia sebagai lambang politik.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.