Ahad, 13 Februari 2011

Demonstrasi Jalanan Bukan Ajaran Islam



Demonstrasi Jalanan Bukan Ajaran Islam

Oleh: Nawawi B. Subandi


Baru-baru ini, sekali lagi adegan dan slogan demonstrasi ke atas pemerintah dilaungkan. Diberi nama pula sebagai sarana amar makruf nahi mungkar dan jihad oleh sebahagian pihak (aktivis demonstrasi). Maka, seruan kebencian dan protes ke atas pemimpin pun meluap-luap. Pelbagai aksi dan adegan demonstrasi jalanan ini kian menjadi fenomena masyarakat di negara kita.

Persoalannya, adakah demonstrasi jalanan merupakan salah satu sarana anjuran agama dalam menghadapi kesalahan dan keterlanjuran pemerintah? Apa hukum perlakuan demonstrasi di sisi agama? Dalam tulisan yang lalu (melalui blog dan akhbar), telah dibentangkan kaedah-kaedah yang syar’i dalam menegur dan memperbaiki keterlanjuran pemimpin, iaitu dengan cara nasihat, mendoakan mereka dengan kebaikan, bertemu dan berbincang dengannya, memperbanyakkan kesabaran, dan dengan tidak mengaibkan serta merendah-rendahkan kedudukannya. (Rujuk artikel penulis berjudul, "Bagaimana Ahlus Sunnah Mentaati Pemerintah" dan "Bagaimana Ahlus Sunnah Menasihati Pemerintah."

Secara ringkasnya, begitulah kaedah-kaedah yang syar’i dalam bermuamalah terhadap pemerintah sama ada yang adil mahupun yang zalim, selagi mana mereka masih menzahirkan keislaman dan syi’ar solat. Dalam masa yang sama, amalan syar’i ini telah menunjukkan betapa Islam itu adalah agama yang mengajak kepada perdamaian, membenci kekacauan, teratur, dan penuh ketenangan. Secara automatik, amalan demonstrasi dan protes ke atas pemimpin sewajarnya tidak berlaku di kalangan umat Islam jika ruh agama tersebut berjaya difahami dengan baik.

Amalan demonstrasi memprotes pemimpin adalah syi’ar orang-orang kafir yang kemudiannya diikuti oleh golongan pemberontak (khawarij) di era awal sejarah umat Islam. Dengan itu, ianya bukanlah amalan anjuran Islam, bahkan bertentangan pula dengan apa yang dianjurkan oleh Islam. Amalan demonstrasi merupakan satu amalan yang baru yang diada-adakan (bid’ah) dalam agama dalam hal berurusan terhadap pemerintah. Dari itu, berhati-hatilah dengan setiap tindakan yang kita lakukan supaya tidak terjerumus ke dalam syi’ar kaum kuffar dan khawarij, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah berpesan bahawa:

لَتَتْبَعُنَّ سَنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا شِبْرًا وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ تَبِعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ

Sesungguhnya akan ada dari kalangan kamu (umat Muhammad) yang mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu (jalan) Yahudi dan Nasara?” Beliau menjawab, “Siapa lagi (sekiranya bukan mereka)?” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/298, no. 6775)

Di hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan dengan keras supaya melazimi ketaatan kepada pemerintah dan tidak bertindak menzahirkan sikap kepembangkangan secara umum dengan katanya,

من راى من اميره شيئا فكرهه فليصبر فانه ليس احد يفارق الجماعة شبرا فيموت الا مات ميتة جاهلية

Sesiapa yang membenci sesuatu dari tindakan pihak pemimpin, maka hendaklah dia bersabar, kerana seseorang yang keluar dari ketaatan kepada pemimpin walaupun satu jengkal, sekiranya dia mati, maka matinya adalah seperti matinya kaum jahiliyyah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/51, no. 6610)

Ini adalah kerana orang-orang jahiliyyah itu tidak memiliki pimpinan yang konsisten, hidup mereka dikenali berpecah-belah serta saling jatuh-menjatuhkan di antara satu dengan yang lain. Ini disebutkan oleh Imam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) dalam 
Majmu’ al-Fatawa, 28/487.[1]

Pemimpin yang dimaksudkan hadis ini adalah merujuk kepada pemimpin (yang muslim) bagi setiap wilayah atau negara yang didiami oleh umat Islam secara umum dan tidak khusus untuk pemimpin bergelar khalifah semata-mata sebagaimana dijelaskan oleh Imam ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) dalam 
Subulus Salam, 3/258.[2]

Perbuatan demonstrasi memprotes pemimpin ini sendiri sebenarnya termasuk juga ke dalam ciri-ciri pemberontakan sebagaimana dijelaskan oleh salah seorang ulama tertinggi Anggota Majlis Fatwa ‘Arab Saudi, Syaikh Soleh as-Sadlan hafizahullah dengan katanya,

فالبعض من الإخوان قد يفعل هذا بحسن نية معتقدا أن الخروج إنما يكون بالسلاح فقط، والحقيقة أن الخروج لا يقتصر على الخروج بقوة السلاح، أو التمرد بالأساليب المعروفة فقط، بل إن الخروج بالكلمة أشد من الخروج بالسلاح؛ لأن الخروج بالسلاح والعنف لا يُرَبِّيه إلا الكلمة فنقول للأخوة الذين يأخذهم الحماس، ونظن منهم الصلاح إن شاء الله تعالى عليهم أن يتريثوا، وأن نقول لهم رويدا فإن صلفكم وشدتكم تربي شيئا في القلوب، تربي القلوب الطرية التي لا تعرف إلا الاندفاع، كما أنها تفتح أمام أصحاب الأغراض أبوابا ليتكلموا وليقولوا ما في أنفسهم إن حقا وإن باطلا. ولا شك أن الخروج بالكلمة واستغلال الأقلام بأي أسلوب كان أو استغلال الشريط أو المحاضرات والندوات في تحميس الناس على غير وجه شرعي أعتقد أن هذا أساس الخروج بالسلاح، وأحذر من ذلك أشد التحذير، وأقول لهؤلاء: عليكم بالنظر إلى النتائج وإلى من سبقهم في هذا المجال، لينظروا إلى الفتن التي تعيشها بعض المجتمعات الإسلامية ما سببها وما الخطوة التي أوصلتهم إلى ما هم فيه، فإذا عرفنا ذلك ندرك أن الخروج بالكلمة واستغلال وسائل الإعلام والاتصال للتنفير والتحميس والتشديد يُرَبِّي الفتنة في القلوب

“Sebahagian daripada saudara kita menyangka perkara tersebut (pemberontakan) adalah suatu yang baik. Mereka menyangka bahawa yang dimaksudkan dengan pemberontakan (sifat kepembangkangan) itu adalah dengan senjata, padahal sebenarnya pemberontakan itu bukan semata-mata dengan senjata dan tindakan kekerasan, tetapi termasuk juga dengan lisan (kata-kata). Bahkan pemberontakan dengan lisan itu jauh lebih bahaya. Kerana pemberontakan dengan lisan itu adalah laluan (printis) kepada pemberontakan bersenjata. Kami katakan dengan penuh kejujuran kepada saudara-saudara kami yang terbakar emosinya, kami menganggap mereka berniat baik – insyaAllah. Namun, hendaklah mereka tidak terburu-buru dan menahan diri. Kerana sikap ekstream mereka tersebut hanya akan menumbuhkan sesuatu yang negatif dalam hati-hati mereka. Hati mereka sebenarnya kosong (dari nilai ilmu) dan hanya mengenal sentimen emosional. Tindakan mereka itu juga hanya akan membuka lebih banyak lagi pintu-pintu kejahatan untuk bertindak dengan cara yang batil.

Pemberontakan dengan kata-kata seperti melalui tulisan, ceramah, seminar, dan media massa yang mengandungi ciri-ciri menaikkan semangat membenci pemerintah adalah termasuk ke dalamnya. Aku memberi peringatan kepada semua dengan peringatan yang tegas. Aku katakan, lihatlah apa hasil yang diperolehi dari setiap tindakan tesebut, dan fikirlah faktor-faktor penyebab timbulnya fitnah ke atas negara-negara Islam. Apabila kita memahami perkara tersebut, maka akan kita ketahui bahawa pemberontakan dengan kata-kata dan media massa untuk menaikkan emosi masyarakat adalah punca kepada pelbagai jenis fitnah (huru-hara).” (Rujuk: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jazairi, 
Madarikun Nazhar fi as-Siyasah, m/s. 306-307. Kitab ini disemak dan diperakui oleh Syaikh al-Albani dan Syaikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbad al-Badr)

Di antara kesan-kesan buruk amalan demonstrasi dan protes ini adalah mengganggu keamanan dan ketenteraman masyarakat, menjatuhkan kredibiliti sesebuah pemerintahan yang mengakibatkan kestabilan politik terganggu, pergaduhan, kerosakan harta benda, kesesakan lalu-lintas dan beberapa lagi yang lainnya. Sedangkan telah jelas dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, perkara-perkara seperti ini semua adalah amat dibenci oleh agama.

Benarlah kata Imam Abu ‘Abdillah al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H):
والذي عليه الأكثر من العلماء أن الصبر على طاعة الإمام الجائر أولى من الخروج عليه، لأن في منازعته والخروج عليه استبدال الأمن بالخوف، وإراقة الدماء، وانطلاق أيدي السفهاء، وشن الغارات على المسلمين، والفساد في الأرض.

“Apa yang dipegang oleh kebanyakan dari para ulama’ bahawasanya sabar dalam mentaati pemerintah yang zalim lebih utama dari keluar memberontak kepada mereka, kerana memisahkan diri dan keluar memberontak itu akan menukarkan keamanan kepada ketakutan, dan tertumpahnya darah yang disebabkan oleh tangan-tangan orang yang bodoh dan hanya akan menyebarkan kefasadan (keburukan) dalam kalangan umat Islam dan di atas muka bumi.” (Tafsir al-Qurthubi, 2/109)

Sebahagian pihak dari kalangan aktivis dan pembela aksi demonstrasi ada yang beralasan dengan pelbagai syubhat yang mengelirukan untuk menyokong tindakan mereka yang telah jelas bertentangan dengan agama. Antaranya, mereka beralasan bahawa demonstrasi mereka dilaksanakan secara aman. Sedangkan, Islam sedikitpun tidak pernah mengajarkan kepada umatnya untuk mengadakan demonstrasi protes sama sekali sama ada yang aman atau kekerasan.

Alasan kedua mereka adalah mengatasnamakan aksi demonstrasi dengan nama jihad dan dakwah. Secara ringkasnya, ini juga sangat bertentangan dengan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,

إن من أعظم الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر

Sesungguhnya jihad yang besar adalah perkataan yang adil (benar) yang disampaikan di sisi penguasa yang zalim (jahat).” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 8/83, no. 2100. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Hadis ini menyatakan sekiranya kita mahu mendakwahi pemimpin, maka hendaklah kita melakukannya dengan cara pergi ke sisi pemimpin tersebut dan memberi penjelasan dengan terperinci. Bukan dengan cara berdemonstrasi, mencerca, dan mencanang keburukan pemimpin. Seharusnya kita faham bahawa yang dinamakan dakwah itu adalah mengajak kepada kebaikan dengan cara yang baik juga.

Selain itu, mereka turut berhujah menggunakan kisah Saidina Umar dan Hamzah berdemonstrasi bersama-sama Rasulullah ke atas kaum kafir Quraisy bagi tujuan menzahirkan keberanian. Kisah ini sebenarnya adalah kisah yang batil dan lemah sekali (dhaif jiddan) sehingga tidak boleh dijadikan sebagai sandaran hujah sebagaimana dijelaskan oleh para ulama hadis generasi awal dan kontemporari. (Rujuk: 
Web Multaqa Ahl Hadeeth)[3]

Kemudiannya, mereka juga berhujjah dengan keterlibatan ummul mukminun ‘Aisyah, sahabat Talhah dan Zubair al-Awwam radhiyallahu anhum dalam perang Jamal berhadapan dengan kepimpinan Ali radhiyallahu ‘anhu, serta tindakan Mu’awiyah menyelisihi ‘Ali dalam urusan tahkim. Sedangkan apa yang perlu kita fahami adalah prinsip ahlus sunnah wal jama’ah dalam menghadapi pertikaian dalam kalangan sahabat adalah tawaqquf dan tidak membenarkan perselisihan mereka serta tidak berhujah untuk mengikuti kesalahan mereka. Apatah lagi kesalahan tersebut telah diingkari oleh majoriti sahabat yang lain dan diri mereka sendiri kemudiannya. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 784H),
مَسِيْرَهَا يَوْمَ الجَمَلِ، فَإِنَّهَا نَدِمَتْ نَدَامَةً كُلِّيَّةً، وَتَابَتْ مِنْ ذَلِكَ، عَلَى أَنَّهَا مَا فَعَلَتْ ذَلِكَ إِلاَّ مُتَأَوِّلَةً، قَاصِدَةً لِلْخَيْرِ، كَمَا اجْتَهَدَ طَلْحَةُ بنُ عُبَيْدِ اللهِ، وَالزُّبَيْرُ بنُ العَوَّامِ، وَجَمَاعَةٌ مِنَ الكِبَارِ - رَضِيَ اللهُ عَنِ الجَمِيْعِ

“Aisyah telah mengakui kesalahannya keluar (melakukan perjalanan) sehingga tercetusnya perang Jamal dan beliau sangat menyesali tindakannya tersebut. Beliau bertaubat dari perbuatannya yang telah lalu yang asal mulanya berniat mencari kebaikan sebagaimana ijtihad Thalhah B. ‘Abdullah dan Zubair al-‘Awwam serta para sahabat lainnya.” (Rujuk: adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 2/193)

Malah jauh lebih awal dari itu, apa yang didakwa oleh para aktivis demonstrasi pada hari ini telah pun dinafikan oleh Imam Ibnu Hazm al-Andalusi rahimahullah (Wafat: 456H) dengan katanya,
وأما أم المؤمنين والزبير وطلحة رضي الله عنهم ومن كان معهم فما أبطلوا قط إمامة علي ولا طعنوا فيها ولا ذكروا فيه جرحة تحطه عن الإمامة ولا أحدثوا إمامة أخرى ولا جددوا بيعة لغيره هذا ما لا يقدر أن يدعيه أحد بوجه من الوجوه بل يقطع كل ذي علم على أن كل لك لم يكن فإذ لا شك في كل هذا فقد صح صحة ضرورية لا إشكال فيها أنهم لم يمضوا إلى البصرة لحرب علي ولا خلافا عليه ولا نقضا لبيعته

فصح أنهم إنما نهضوا إلى البصرة لسد الفتق الحادث في الإسلام من قتل أمير المؤمنين عثمان رضي الله عنه

“Manakala pemergian Ummul Mukminin (‘Aisyah), az-Zubair, dan Thalhah radhiyallahu ‘anhum berserta orang-orang yang bersama mereka (ke Bashrah), mereka sedikitpun tidak bertujuan untuk membatalkan kekhalifahan ‘Ali, mereka sedikitpun tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak memperkatakan sebarang kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah yang baru yang lain dan mereka tidak menukar (memperbaharui) bai’ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah suatu yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun dengan apa cara sekalipun. Kebenaran sebenar yang dikehendaki yang tidak dipertikaikan padanya adalah mereka tidak pergi ke Bashrah untuk memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai‘ah daripadanya...

Maka yang sebenarnya, mereka berangkat ke Basrah tidak lain adalah untuk menyekat (membendung) dari terjadinya perpecahan dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan Amirul Mukminin Utsman radhiyallahu ‘anhu.” (Ibnu Hazm, al-Fishal fil Milal wa an-Nihal, 4/238 - Daar al-Jil)

Beliau (Ibnu Hazm) turut menjelaskan berkenaan isu perselisihan Mu’awiyah dengan ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma dengan katanya,
ولم ينكر معاوية قط فضل علي وإستحقاقه الخلافة لكن اجتهاده أداه إلى أن رأى تقديم أخذ القود من قتلة عثمان رضي الله عنه على البيعة ورأى نفسه أحق بطلب دم عثمان

“Dan Muawiyah sedikit pun tidak mengingkari keutamaan dan hak ‘Ali untuk menjadi khalifah. Namun pada ijtihad beliau, perlu didahulukan penangkapan ke atas para pencetus api fitnah dari kalangan para pembunuh ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu berbanding urusan bai’ah. Dan beliau juga berpendapat dirinya adalah yang paling berhak untuk menuntut darah Utsman.” (Ibnu Hazm, al-Fishal fil Milal wa an-Nihal, 4/240-241 - Daar al-Jil)

Satu perkara penting untuk diketahui berkenaan fitnah yang mengakibatkan perselisihan di kalangan mereka (sahabat) ini adalah kerana wujudnya pihak ketiga (iaitu kelompok yang sama yang terlibat dalam pembunuhan ‘Utsman) yang bertindak sebagai pencetus api fitnah yang melaga-lagakan keduanya. Pertembungan yang berlaku ini tercetus tanpa sebarang niat buruk dan tanpa disengajakan. Bahkan bukan tujuan mereka sama sekali untuk berselisih dan bertelingkah. Kedua-dua mereka sendiri sama sekali tidak mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku ketika itu. Inilah yang disebutkan oleh para ulama dan ahli sejarah yang adil dari kalangan Ahlus Sunnah wal-Jama’ah.[4]

Akhir sekali, ada juga dari kalangan aktivis demonstrasi ini yang menyamakan tindakan mereka seperti perhimpunan umat Islam pada setiap hari Jumaat dan perhimpunan haji di Baitullah dengan tujuan menzahirkan rasa penghambaan kepada Allah. Analogi mereka ini ternyata begitu batil dan sangat menyimpang dari kebenaran kerana mana mungkin sebuah perhimpunan ibadah yang disyariatkan oleh Allah hendak disamakan dengan amalan demonstrasi yang jelas bertentangan dengan garis-garis Islam?

Maka, hendaklah kita kembali kepada Islam yang jelas sumber-sumber dalilnya daripada al-Qur’an dan as-Sunnah yang difahami melalui perkataan para ulama ahlus sunnah wal-jamaah. Jauhilah sikap dan tindakan yang dibina dengan teras emosi dan hawa nafsu. Inilah di antara kaedah-kaedah penting yang perlu sama-sama kita ambil dalam menyelesaikan pelbagai kemelut fitnah yang melanda umat Islam akhir-akhir ini. Bukan sahaja dalam persoalan demonstrasi, tetapi juga dalam pelbagai isu lainnya. 
Wallahu a’lam.

Footnote/Nota kaki: