Dalam perlembagaan Unisel, titah baginda, dinyatakan dengan jelas bahawa canselor universiti itu ialah Sultan Selangor atau wakil yang dilantik oleh baginda.
"Justeru adalah tanggungjawab beta untuk menggunakan segala kebijaksanaan beta untuk memilih mereka yang beta percayai, sesuai dan berpotensi untuk mewakili beta menerajui Unisel ke arah kemajuan serta kecemerlangan.
''Oleh yang demikian, beta berkenan menitahkan kepada seluruh rakyat Selangor agar perkara ini tidak disalahertikan dan dipolitikkan," titah baginda.
Baginda bertitah pada majlis penyerahan watikah pelantikan Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda sebagai Canselor Unisel yang baru di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Pada 14 Februari lalu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali mengumumkan pelantikan Raja Arshad sebagai Canselor Unisel menggantikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menamatkan khidmatnya pada 5 Februari lalu.
Tindakan Halimah mengumumkan pelantikan Raja Arshad yang juga Pengerusi Ekuiti Nasional Bhd. itu dilihat seolah-olah membelakangi bidang kuasa Sultan Selangor dalam soal itu.
Ini kerana, meskipun pemilihan Raja Arshad telah mendapat perkenan Sultan Selangor, pelantikannya harus dibuat oleh baginda berdasarkan perlembagaan Unisel.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan Unisel supaya tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan politik kepartian yang akan menjejaskan kepercayaan pelbagai pihak kepada universiti itu.
Titah baginda, penglibatan Unisel dalam politik kepartian hanya akan menimbulkan banyak masalah, malah merugikan universiti yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri sejak 1999.
''Para ibu bapa juga akan merasa ragu-ragu untuk membenarkan anak mereka melanjutkan pelajaran di universiti ini. Beta tidak mahu perkara seumpama itu terjadi kepada Unisel kerana aset utama sesebuah universiti ialah pelajar-pelajarnya," titahnya.
Pada masa sama, baginda meminta kepimpinan tertinggi Unisel menjalankan fungsinya dengan baik untuk kemajuan pendidikan dan pelajaran anak bangsa, selain mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan oleh pihak berwajib, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi.
Baginda juga mahu Unisel menumpukan kepada sukatan mata pelajaran terasnya untuk menghasilkan graduan berkualiti dalam bidang berkaitan perindustrian memandangkan Selangor merupakan negeri pertama yang mempunyai pembangunan industri pesat.
''Oleh itu, keperluan untuk melengkapkan industri-industri ini adalah penting.
''Maka, tugas Unisel untuk mengeluarkan graduan-graduan yang berkaliber adalah penting bagi memajukan lagi industri di Selangor, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi negeri ini," titah baginda.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.