Selasa, 22 Mac 2011

Lelaki dedah ‘video seks Anwar

Satu rakaman video seks yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seorang wanita dipercayai warga asing ditayangkan kepada media di sini, semalam.

Pendedahan rakaman aksi seks 19 minit itu menjadi heboh dan menimbulkan tanda tanya banyak pihak selepas laporan mengenainya disiarkan beberapa laman web.
Anwar pada sidang media khas beberapa jam kemudian menafikan beliau ialah individu dalam adegan seks itu dan menyifatkan ia fitnah untuk memusnahkan karier politiknya.Terdahulu, seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Datuk T' berusia lingkungan 40-an mendakwa adegan itu dirakam menggunakan empat kamera litar tertutup di sebuah bilik hotel di ibu negara pada 21 Februari lalu antara jam 10.23 malam hingga 10.42 malam.


Datuk T juga menunjukkan jam tangan jenama Omega yang disimpan dalam sarung plastik didakwanya milik Anwar dan diambil daripada wanita terbabit dalam adegan seks itu.

Rakaman itu ditayangkan kepada wartawan dan pengarang media menggunakan komputer meja di sebuah bilik di Carcosa Seri Negara di sini, secara berperingkat bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Mereka juga terpaksa melalui pelbagai peringkat pemeriksaan ketat termasuk alat pengesan logam selain diberi jubah untuk dipakai sebelum dibenarkan memasuki bilik itu.
Malah, mereka terpaksa menyerahkan semua barangan seperti pen, buku nota, telefon bimbit dan kamera.

Di akhir tayangan itu, Datuk T turut mengedarkan kenyataan akhbar bertajuk Dato' Seri Anwar Ibrahim yang antara lain menjelaskan bagaimana pita rakaman itu diperoleh.

Menurut kenyataan itu, selepas Anwar meninggalkan hotel itu beliau sedar tertinggal jam tangan Omega di bilik berkenaan.

Penulis dalam kenyataan media yang menggunakan nama pena 'The Insider' kemudian diminta mencari jam tangan itu dalam bilik hotel berkenaan, sebelum menemui banyak wayar yang disambung kepada empat CCTV yang tersembunyi di bilik berkenaan.

"Saya kemudian memutuskan wayar dan membawa keluar rakaman itu sebelum mendapati ia (rakaman) mengandungi aksi seksual pemimpin pembangkang. Saya mahu media melihat terlebih dulu rakaman ini sebelum menghantar salinannya kepada pemimpin pembangkang terbabit dan isterinya untuk mengenal pasti individu dalam video itu.

"Jika benar individu dalam rakaman itu ialah pemimpin pembangkang terbabit, dia dan isterinya perlu berundur daripada politik, jika tidak berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari selepas menerima rakaman ini, saya akan memanggil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menubuhkan panel bebas bagi menyiasat dan mencari khidmat forensik bagi mengkaji kesahihan rakaman itu.

"Seluruh dunia akan tahu, terpulang kepada pemimpin pembangkang itu dan isterinya untuk membuat keputusan.

"Mengapa saya buat ini? Ada had untuk menipu, 'cukup, cukuplah' dan sudah tiba masanya untuk orang ramai mengetahui kebenaran," katanya.

Anwar pada sidang medianya juga mendakwa video itu adalah konspirasi jahat menggunakan teknologi canggih oleh pihak tertentu bagi memfitnah dia dan keluarga bagi menghancurkan karier politiknya.

"Ia berniat jahat untuk membantut karier politik saya dan pakatan. Skandal ini bermotifkan politik dan saya minta rakan pakatan jangan terpengaruh dan tumpukan perhatian untuk bertempur di Sarawak.

"Gambar itu dikatakan mirip saya, namun perut orang itu lebih buncit berbanding perut saya," katanya sambil bangun menunjukkan perutnya kepada wartawan yang hadir pada sidang media itu.

Hadir sama pada sidang media itu, isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Anwar juga mendakwa, pada masa dan tarikh rakaman itu dia berada di kediamannya bersama isteri, anak dan cucunya.

Ditanya sama ada akan membuat laporan polis, Anwar berkata, dia belum melihat video itu dan hanya akan berbuat demikian apabila melihatnya.

Ditanya mengenai jam tangan Omega berkenaan, Anwar mendakwa jam tangannya tidak hilang dan disimpan isterinya.

Sementara itu, Wan Azizah ketika mengulas klip video itu menyifatkannya sebagai fitnah.

"Sebelum ini kata Anwar dengan lelaki, tetapi kenapa video dengan perempuan," tanyanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail, berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung video berkenaan.
Bagaimanapun, siasatan dilakukan dengan memanggil mereka yang terbabit menayangkan video berkenaan.

"Mereka yang memaparkan video berkenaan juga boleh dikenakan tindakan kerana dianggap menyiarkan bahan lucah untuk tontonan umum," katanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.