Sabtu, 14 Mei 2011

Mangsa ke-23 diserang lelaki bermotosikal ketika berhenti di simpang tiga





"Saya hanya mampu beristighfar dan menjerit meminta tolong apabila disimbah cecair bercampur asid oleh seorang lelaki bermotosikal," kata mangsa ke-23 kes serangan asid yang menceritakan detik mencemaskan disimbah cecair bercampur asid dalam insiden berhampiran Seksyen 10, Wangsa Maju, di sini, semalam.

Mangsa yang juga anak pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Emma, 31, berkata, beliau sangat terkejut apabila seorang lelaki bermotosikal tiba-tiba menghampiri keretanya ketika berhenti di simpang tiga di lokasi kejadian, kira-kira jam 8.30 pagi.

“Simbahan cecair bercampur asid itu terkena seluruh muka dan pakaian saya, lalu menyebabkan mata saya terasa sangat pedih,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lembah Keramat, Ulu Klang, dekat sini, semalam.

Emma berkata, beliau tidak tahu siapa yang menyerangnya malah bingung diperlakukan begitu kerana hanya mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar sepupu yang bekerja. Saya masih ingat, kerana sejuk, saya membuka tingkap di bahagian pemandu tetapi tidak menyangka ada lelaki datang menghampiri dan menyimbah cecair bercampur asid ke arah saya,” katanya.