Jumaat, 6 Mei 2011

PAS TERSENTAK DIPULAS TELUR


Mufti Perlis: Mengapa melenting, saya cakap ikut nas al-Quran

Mufti Perlis: Dr Juanda Jaya

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mempertahankan kenyataannya sambil berkata mengapa pemimpin-pemimpin PAS harus melenting apabila beliau mengatakan pihak yang menentang penyatuan Umno dan parti Islam itu sebagai pengkhianat Islam.

“Hairan kenapa ada yang melenting? Ini demokrasi? Saya cakap ikut nas al-Quran dan Hadis. Itu tugas saya,” kata beliau(gambar) kepada The Malaysian Insider dalam kenyataan SMS.

Beliau juga berkata, jika Hamas dan Fatah boleh musalahah-berdamai hari ini di Mesir, “kenapa tidak Malaysia?”

“Golongan ekstrem dalam dua parti (Umno dan PAS) mesti disekat. Malaysia sedang menuju wajah baru. Lupakan sikap lama yang buruk,” katanya lagi.

Selain itu, Juanda menyifatkan Islam di Malaysia memerlukan banyak pembangunan dan PAS boleh menyumbang ke arah pembangunan tersebut.

Hari ini, pemimpin-pemimpin PAS menyelar kenyataan Juanda yang dilaporkan berkata pihak yang menentang penyatuan Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam.

Antaranya, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata tidak timbul soal siapa pengkhianat Islam jika Umno dan PAS tidak bersatu.

Oleh itu katanya, apa yang perlu masyarakat faham ialah sebenarnya memutuskan hubungan silaturrahim sesama Islam tidak dibenarkan dalam agama.

“Saya rasa kita perlu faham sebenarnya kita tidak boleh putuskan hubungan silaturahim. Apa yang terjadi sekarang ialah cuma perbezaan pandangan politik dan itu merupakan perkara biasa.

“Jangan terlalu cepat mengeluarkan kata-kata pengkhianat itu. Sebuah negara demokrasi diberi kebebasan untuk berpolitik dan menubuhkan parti politik,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, terpulang kepada Mufti Perlis itu untuk berkata apa-apa sekalipun kerana ia merupakan permainan Umno.

“Dia (Juanda) nak kata apa, dia punya suka nak kata apa pun.

“Umno main sentimen ini kerana Umno sebenarnya dah tenat dan ada masalah penyakit dalam jiwa. Kita perlu sedia pakar sakit jiwa untuk pimpinan Umno kerana takut mereka akan tertekan sehingga menyebabkan mereka bunuh diri atau terjun bangunan. Jadi kita perlu bersedia,” katanya berseloroh.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad juga menganggap kenyataan Juanda sebagai seorang yang tidak memahami situasi yang berlaku antara Umno dan PAS.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Juanda yang menyifatkan pihak-pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam.

Selain itu Juanda berkata, mereka juga boleh dianggap pendukung fikrah puak Khawarij iaitu sebuah kumpulan yang amat bencikan kesatuan di dalam Islam.

“Penyatuan (Umno dan PAS) sebenarnya adalah wajib khususnya untuk kekuatan Islam dan Malaysia amnya. Semua pihak wajib berusaha ke arah itu,’’ katanya.