KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik EXCO Selangor, Teoh Beng Hock, dikatakan membunuh diri kerana mahu mati secara mulia demi mempertahankan majikannya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan parti DAP, Suruhanjaya Siasatan Kematian Beng Hock diberitahu, semalam.
Peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Seri Muhammad Shafee mencadangkan demikian kepada Hian Wah ketika merujuk nota bunuh diri yang dikatakan ditulis Beng Hock sebelum kematiannya, 16 Julai 2009.
Muhammad Shafee berkata, mengikut kandungan nota itu, Beng Hock meminta maaf daripada seseorang bernama ‘Ou Yang’ kerana tidak dapat membantunya, memberitahu komputernya diambil malah beliau juga bercakap mengenai tuntutan iaitu mendapat kelulusan YB (Yang Berhormat).
Muhammad Shafee: Disebabkan keadaan sukar yang dihadapi Beng Hock ketika itu, dia menghadapi tekanan kerana ada lebih banyak lagi perkara akan terbongkar. Dia mungkin membunuh diri secara mulia untuk melindungi kamu dan DAP seperti falsafah Cina ‘death before dishonour’ (merasakan lebih baik mati sebelum dihina)?
Hian Wah: Tidak setuju.
Muhammad Shafee berkata, Beng Hock mungkin risau apabila mengetahui keadaan di mana kontraktor bukan Bumiputera melakukan projek atau program yang sepatutnya dijalankan oleh kontraktor Bumiputera yang memiliki lesen kelas F.
Disoal sama ada beliau terkejut kerana kontraktor kelas F Bumiputera digunakan sedangkan syarikat Hong Chye (bukan Bumiputera) yang sebenarnya melakukan semua kerja, Hian Wah berkata beliau tidak tahu mengenai aktiviti perniagaan dijalankan kerana percaya kontraktor Cina dan Bumiputera boleh bekerjasama dalam melakukannya.
“Saya hanya risau sama ada projek itu dijalankan atau tidak dapat disiapkan,” katanya.
Disoal Muhammad Shafee jika beliau tahu ada bayaran dibuat kontraktor hasil daripada tuntutan diterima kepada DAP seperti DAP Bandar Sungai Long, DAP Selangor dan DAP Serdang Aman, Hian Wah berkata itu adalah aktiviti perniagaan dijalankan mereka.
Katanya, beliau tidak tahu mengenai aktiviti perniagaan itu dan beliau hanya ahli Cawangan DAP Serdang Aman manakala Beng Hock pula ahli DAP Serdang Baru.
Muhamad Shafee berkata, keadaan yang berlaku dapat menunjukkan tahap pemikiran Beng Hock ketika itu, yang mana jika dia tahu lebih banyak ‘cacing dalam tin’ ia akan menyebabkannya tertekan dan mendorong dirinya membunuh diri.
“Ia adalah modus operandi bagaimana DAP menyalahgunakan wang peruntukan kerajaan negeri untuk menjalankan aktiviti politik. Ini mungkin menyebabkan kesan yang serius kepada Beng Hock,” katanya.
Disoal Muhammad Shafee mengenai empat draf sebut harga dan invois yang dicetak dari komputer riba Beng Hock, Hian Wah tidak setuju beliau dan setiausaha politiknya itu terbabit dalam menentukan perbincangan harga projek dengan syarikat kontraktor dikendalikan ahli perniagaan, Lee Wye Wing.
Prosiding bersambung 9 Mei ini.