Isnin, 23 Mei 2011

Perjuang keperluan rakyat untuk UMNO kekal relevan


Mukhriz dan Zahir Ketua Pemuda Umno Taiping
Parti UMNO perlu melaksanakan transformasi politik dengan memperjuangkan isu keperluan rakyat terutama yang membabitkan kepentingan generasi muda bagi memastikan ia terus kekal relevan di hati pengundi.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, YB Datuk Mukhriz Mahathir, berkata generasi muda hari ini tidak lagi melihat dan memandang UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti politik yang boleh memenuhi keperluan mereka.

Sebaliknya golongan ini katanya, mahu parti yang boleh memahami keperluan dan masalah rakyat dari pelbagai aspek termasuk kesihatan, keselamatan, pendidikan serta peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Untuk kekal relevan dan memenangi hati pengundi muda, UMNO perlu melakukan tranformasi politik dengan memperjuangkan isu-isu yang berkait rapat dengan keperluan rakyat.

“Kita tidak boleh membiarkan pembangkang menjadi suara rakyat hingga terpaksa mengubal dasar baru dan yang lebih penting transformasi politik ini perlu bermula dengan memahami kawasan sendiri,” katanya ketika berucap pada Persidangan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Taiping, di Kamunting, pagi tadi.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun, berkata politik perpecahan yang dipraktikkan DAP perlu ditentang habis-habisan kerana ia cukup merbahaya kepada boleh menggugat perpaduan kaum yang sedia terjalin selama ini.

“Keputusan pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini memberi petanda cemas kepada soal perpaduan kaum apabila DAP berjaya meracuni pemikiran golongan tertentu untuk menyokong politik perpecahan.

“Sudah pasti kejayaan DAP itu akan membawa kesan berpanjangan dan boleh menjejaskan perpaduan rakyat majmuk di negara ini,” katanya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, juga berkata, tindakan DAP membantah sekeras-kerasnya cadangan perpaduan antara UMNO dan PAS jelas mempunyai motif tertentu walaupun ia sebenarnya boleh menguntungkan semua rakyat negara ini untuk jangka masa panjang.

Tambahnya, parti itu seolah-olah melatah dan melenting apabila cadangan menyatukan orang Melayu disuarakan oleh pemimpin tertinggi UMNO dan menganggapnya sebagai berunsurkan perkauman.

“Perpaduan Melayu melalui parti UMNO dan PAS tidak akan menjejaskan pihak lain dan gagasan 1Malaysia juga tidak boleh direalisasikan jika masyarakat majoriti terus berpecah-belah dan bersengketa,” ujar Mukhriz lagi.

Sumber : Perak Today
Laporan oleh Sarimah
Foto oleh Egey