Jumaat, 6 Mei 2011

Tabur janji kosong untuk mendapatkan komisyen




KUALA LUMPUR – “Jangan risau, saman saya akan tanggung dan kereta awak dijamin siap kurang dari 10 hari. Apa yang penting sekarang tanda tangan sahaja di borang ini.”

Semuanya itu dilakukan oleh ‘longkai’ dalam memancing pemilik kereta yang berdepan dengan masalah kerosakan atau terlibat dalam kemalangan jalan raya demi meraih komisyen.

Bagaimanapun, amat menyedihkan apabila setelah pemilik kenderaan menandatangani ‘surat kuasa’ tersebut, longkai lesap bersama janji-janji manis mereka.

Kereta terbengkalai lama di bengkel bahkan ada sesetengah longkai menghantar kenderaan ditunda ke bengkel yang ibaratnya ‘kedai potong’ selain enggan membayar saman.

Hal itu didedahkan oleh seorang pemilik trak tunda dari Seri Kembangan, Zaid Borhan (bukan nama sebenar), 33, yang sudah berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang itu.

Meskipun mengakui tidak mengamalkan tipu helah tersebut, Zaid tidak menafikan budaya seumpama itu wujud khususnya di kalangan longkai baru.

“Kebanyakan longkai baru begitu teruja nak dapatkan komisyen lumayan. Tidak hairanlah jika ada di kalangan mereka yang berebut-rebut serta bertindak memaksa pemilik kenderaan sehingga ada kalanya membawa kepada pergaduhan.

“Tidak cukup dengan itu, ada juga di kalangan longkai yang sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan kemalangan mahupun kerosakan terancang berlaku di sesebuah kawasan,” katanya kepada Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bagaimanapun, Zaid menjelaskan, kedatangan pantas trak tunda dalam menawarkan perkhidmatan kadang kala tidak melibatkan sebarang tipu helah dan lebih kepada maklumat awal pihak bengkel mahupun longkai.

“Kadang kala kedatangan pantas itu banyak dipengaruhi oleh maklumat awal pengusaha bengkel dan longkai yang kebetulan berada di kawasan terbabit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zaid turut mengingatkan pemilik kenderaan agar jangan cepat panik dan menyiasat terlebih dahulu bengkel pilihan longkai sekiranya kenderaan mereka rosak teruk.

“Tips yang boleh saya kongsi, jika pemilik kenderaan was-was dengan bengkel cadangan longkai, hubungilah pihak insurans terlebih dahulu bagi memastikan bengkel tersebut bengkel panel di bawah syarikat insurans,’’ katanya.