Selasa, 17 Mei 2011

Transformasi politik perlu disertai dengan bukti

Bagi menarik penyertaan golongan muda, transformasi politik yang dilaksanakan UMNO bukan sahaja perlu dihayati tetapi juga diterjemahkan di peringkat bahagian dan akar umbi dalam bentuk bukti dan hakikat sebenar.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata UMNO hari ini lebih demokratik dan berupaya, sekaligus mampu menarik penyertaan golongan muda untuk bersama-sama parti itu.

“Senario landskap dunia bukan sahaja berubah di Malaysia tetapi di seluruh dunia tetapi pembangkang sengaja menggunakan isu itu untuk menarik perhatian rakyat. Tetapi dengan kebijaksanaan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kita telah mengorak langkah lebih awal dari segi kerajaan, ekonomi dan parti dengan membawa pendekatan baru atau tranformasi yang dituntut oleh rakyat.

“Kita memerlukan sokongan politik dan semangat perwakilan daripada peringkat akar umbi dan berdasarkan kepada situasi hari ini, kita kini berada di landasan yang tepat dan dalam keadaan yang bersatu-padu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut, hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishamuddin berkata, ketika ini tranformasi politik yang diwar-warkan masih belum nampak kesannya kerana ia di peringkat awal pelaksanaan.

“Untuk pemilihan secara pilihanraya, kita telah meminta UMNO Bahagian Larut yang mempunyai cawangan terbesar iaitu 148 cawangan untuk melaksanakannya walaupun pemilihan sebenar masih jauh.

“Tetapi yang lebih penting ialah undi perwakilan ini yang akan menentukan siapa yang bakal menjadi Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, sekaligus menjadi sebahagian daripada detik bersejarah dalam parti.

“Tiga detik bersejarah yang tidak boleh dilupakan itu ialah kelahiran, pengharaman dan pindaan perlembagaan UMNO sendiri,” tegasnya lagi.

Terdahulu, dalam ucapannya, Hishamuddin berkata, UMNO adalah satu-satunya parti yang dapat membela nasib orang Melayu di negara ini.

Selain itu, pemimpin parti katanya, perlu memikul amanah dan tanggungjawab dengan sebaiknya-baiknya dan mengelak daripada bertindak mengikut emosi.
Dipetik dari Perak Today