Selasa, 17 Mei 2011

PAS KALAH DALAM ISU LADANG RAKYAT

Penduduk akui Ladang Rakyat tak rampas tanah
M Faqih   
GUA MUSANG, 16 Mei: “Ladang Rakyat tidak pernah rampas tanah rakyat. Kalau ada tanaman mereka tidak masukkan dalam kawasan projek.
“Lagi pun kawasan yang diambil Ladang Rakyat kesemua tanaman yang pernah ditanam tidak menjadi akibat dimakan binatang liar,” kata Ramli Abdul Rahman ketika ditemui di Kampung Baru Star.
Kampung tersebut terletak kira-kira 25 km dari bandar Gua Musang. Kedudukannya di laluan yang menghubungkan Gua Musang dan Jeli melalui Jelawang, Dabong.
Di sebelah timur bukit di kampung itu, tidak jauh dari masjid terletak projek perladangan sawit diusahakan Ladang Rakyat.
Kelapa sawit yang ditanam tiga tahun lalu kini ada yang sudah berbuah.
Ramli memberitahu Ladang Rakyat tidak pernah merampas tanah penduduk kampung seperti didakwa sesetengah pihak melalui media massa sebelum ini.
”Saya masih ingat lagi sewaktu Allahyarham Chek Hashim Sulaiman menjadi Penyelia Dun Galas acap kali beliau datang menemui penduduk membincangkan cadangan Ladang Rakyat membangunkan ladang sawit di sini.
”Kalau tidak silap enam kali beliau datang. Perjumpaan diadakan di masjid Star Baru dan Madrasah di Kampung Kalai,” katanya.
Menurutnya dua tahun berbincangan diadakan dan penduduk berpuas hati apabila kawasan yang sudah ditanam dikeluarkan daripada projek Ladang Rakyat.
Beliau juga meluahkan rasa pelik selepas lebih empat tahun projek Ladang Rakyat dijalankan mengapa pula baru sekarang ada penduduk di sesetengah tempat mempertikaikan.
Oleh itu beliau mengsyaki ada orang tengah yang menjual tanah milik kerajaan cuba menimbulkan pelbagai dakwaan bukan-bukan terhadap Ladang Rakyat.
Seramai 10 penduduk ditemui di Kampung Star Baru Sabtu lalu menjelaskan perkara serupa seperti diberitahu Ramli.
Di majlis berasingan pada malam bertempat di padang Majlis Daerah Gua Musang lebih 1,000 penduduk hadir mendengar penjelasan mengenai isu membabitkan Ladang Rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi tampil menjelaskan isu tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Turut hadir Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz Abdullah Hussin, Penyelia Dun Galas, Dr Zulkefli Mohamad dan Penyelia Dun Paloh, Hamdan Jusoh.
Biar pun hujan pada sebelah petang, namun orang ramai tetap hadir bagi mendengar penjelasan sebenar mengenai isu Ladang Rakyat selepas diberi imej negetif media harian proUmno.
Umno tentang program kebajikan
Dr Nazmi berkata, sejak daripada awal lagi pemimpin Umno cuba menggagalkan projek Ladang Rakyat apabila mereka menentang ketika Enakmen Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat dibentang pada persidangan Dun Kelantan.
Katanya, selama dua hari setengah enakmen tersebut dibahas dan akhirnya perbadanan tersebut berjaya diwujudkan dengan undian 23 Adun PAS menyokong dan 22 Adun BN menentang.
”Umno menentang kewujudan program Ladang Rakyat kerana program ini memberi kebajikan kepada rakyat di mana sehingga akhir tahun lepas sebanyak RM40 juta dibayar kepada lebih 4,300 peserta.
”Kejayaan program ini dapat dilihat apabila pada pilihan raya umum Mac 2008 Adun BN yang menentang penubuhan Ladang Rakyat kecundang dalam pilihan raya sehingga tinggal enam orang,” ujarnya.
Beliau juga menjelaskan biar pun Umno mendesak kerajaan negeri mengeluarkan kertas putih kononnya berlaku penyelewengan membabitkan Ladang Rakyat, namun audit yang dilakukan Jabatan Audit Negara tidak menemui sebarang penyelewengan.
Menteri Besar pula menyokong cadangan Ladang Rakyat menyaman pihak yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap agensi terbabit.

1,000 demonstrasi bantah Ladang Rakyat

KOTA BHARU 16 Mei – Lebih 1,000 orang berpakaian serba merah mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pusat pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini bagi membantah pelaksanaan program Ladang Rakyat yang didakwa telah diselewengkan.
Perhimpunan yang diketuai oleh Pengerusi Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (OMBAK) yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian bermula pada pukul 9.30 pagi.
Selain OMBAK, peserta perhimpunan tersebut terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Majlis Belia Kelantan, Majlis NGO Negeri, Belia 4B dan Pemuda UMNO Kelantan serta penduduk Orang Asli dari Gua Musang.
Mereka membawa pelbagai sepanduk yang tertera perkataan 'Berhentilah Nik Aziz’; ‘Pas Tipu Rakyat’; ‘Ladang Wakil Rakyat’; ‘Pade doh weh .. tok wakil Pas kayo doh' dan ‘Bila nak selesai masalah air, serabut doh weh!!!’ serta melaungkan slogan ‘Gelombang Merah’.
Anuar turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusof untuk disampaikan kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kira-kira pukul 10 pagi.
Memorandum tersebut menuntut Kerajaan Pas Kelantan yang diketuai oleh Nik Abdul Aziz membuat penjelasan terhadap lima perkara utama iaitu senarai serta status syarikat yang menjalankan projek Ladang Rakyat dan sejauh mana penglibatan bumiputera Kelantan dalam syarikat-syarikat terbabit.
Tuntutan lain termasuk senarai terperinci bilangan peserta, perincian perolehan pendapatan atau laporan kewangan sejak 2006 dan lokasi, keluasan serta status tanah yang dimajukan.
Anuar berkata, perhimpunan itu diadakan untuk menuntut keadilan bagi pihak rakyat negeri ini.
“Sudah terlalu lama rakyat terutama di kawasan Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli dianiaya. Jadi, kita minta Kerajaan Pas Kelantan supaya mengeluarkan kertas putih bagi menjelaskan semua isu yang berbangkit tentang Ladang Rakyat,” katanya.
Sementara itu, Kerajaan Pas Kelantan hari ini menjelaskan bahawa isu tanah dirampas untuk program Ladang Rakyat timbul berikutan tindakan sindiket yang meneroka tanah secara haram sebelum menjualnya kepada penduduk sehingga menyebabkan kekeliruan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya tidak pernah merampas tanah rakyat untuk pembangunan program tersebut kerana ia dibuat mengikut undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan di bawah Enakmen No. 2 Tahun 2006.