Selasa, 14 Jun 2011

Apa Cerita UMNO Cawangan Pusing Di Batu Gajah?




Ada khabar yang kurang elok kedengaran dari Batu Gajah. Rupa-rupanya disebabkan UMNO tidak bertanding di mana-mana kerusi dalam Parlimen Batu Gajah, banyak cerita tersembunyi yang selama ini senyap di bawah selimut, sebenarnya menjadi duri dalam daging kepada perkembangan dan kemajuan UMNO di Batu Gajah sendiri.

Cerita tentang masalah UMNO Batu Gajah sudah pun didedahkan, bukan sahaja oleh Perak Today tetapi juga oleh beberapa blog yang lain. Cerita tentang cawangan-cawangan ‘kayangan’ dan ‘bunian’ turut didedahkan dan ada blog yang sudah pun menamakan cawangan-cawangan tersebut serta ‘sebab-musabab’ kewujudannya.

Satu perkara yang sebenarnya sangat membahayakan UMNO Perak dan UMNO Malaysia.

UMNO telah diharamkan pada 1987 ekoran cawangan tidak sah taraf. Perpecahan dalam UMNO berlaku sejurus itu sebelum mengambil masa bertahun-tahun untuk bertaut semula dengan pembubaran Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Status UMNO Cawangan Pusing, masih lagi tergantung sehingga kini. Mesyuarat UMNO Bahagian Batu Gajah, Cawangan Pusing tidak dijemput. Cawangan Pusing sebelum ini tidak aktif, kemudian dihidupkan kembali kerana mempunyai banyak tenaga pakar dan profesional.

Ada cerita dan khabar-khabar angin yang mengatakan Ketua Bahagian Batu Gajah sebenarnya takut dengan UMNO Cawangan Pusing. Sebabnya, Ketua Bahagian UMNO hanya mempunyai duit dan pengaruh di kalangan kaum kroni, sedangkan ahli-ahli UMNO Cawangan Pusing dilihat lebih berkaliber dan berintegriti.

Kebimbangan pengaruh UMNO Cawangan Pusing sememangnya ada asas. Ahli-ahli dalam Cawangan Pusing dilihat menentang penguasaan Ketua Bahagian Batu Gajah dan hierarki yang diamalkan. Ada sesuatu yang menarik terutama apabila anak lelaki, isteri dan anak perempuan turut mempunyai jawatan. Dan jawatan-jawatan tersebut merupakan jawatan penting seperti PEMERIKSA KIRA-KIRA dan Ketua Pemuda.

Mujur jugalah UMNO Batu Gajah tidak mempunyai peruntukan kerusi untuk ditandingi. Kalau tidak, tentu huru-haranya akan jadi lebih besar. Bagaimanapun, beberapa perkara lain termasuklah projek kontrak dan tender dikatakan menjadi penyebab kepada keadaan huru-hara di Batu Gajah.

Benarkah wujudnya pencantasan tunas-tunas muda profesional dalam Bahagian Batu Gajah?

Masalah utama UMNO sebenarnya bukanlah disebabkan akar umbi sangat tetapi disebabkan oleh kerenah pemimpin-pemimpin UMNO sendiri. Tidak sedikit warga marhein mengambil keputusan memboikot dan membenci UMNO kerana perkara-perkara sebegini.

Para pemimpin UMNO seringkali diingatkan bahawa tindak tanduk dan perbuatan mereka diperhatikan oleh rakyat sepanjang masa. Kalaupun tidak dipandang, tindak tanduk mereka akan diperkatakan. Apabila sudah mula diperkatakan, bermakna panjanglah masalah yang akan berlaku. Bermula daripada serangan dari dalam parti untuk meminta pemimpin berkenaan turun jawatan dan akhir sekali kesan pola pengundian terhadap calon-calon UMNO-BN di seluruh negara.

Mungkin bagi para pemimpin UMNO seperti ini, ia bukanlah satu masalah besar kerana otak mereka biasanya tidaklah sebesar mana. Mereka hanya hidup di bawah tempurung besi dan syok sendiri tanpa memikirkan natijah kepada keseluruhan organisasi. Bahkan pandangan pada masa hadapan juga tidak pernah wujud.

Kalau benarlah cerita UMNO Cawangan Pusing SENGAJA digantung statusnya hanya kerana kebimbangan pihak tertentu yang puak-puak UMNO Pusing akan mengambilalih tampuk kepimpinan UMNO Batu Gajah, alangkah malangnya. Tenaga-tenaga muda yang lebih profesional dan efisien seharusnya telah lama menggantikan tenaga-tenaga tua UMNO yang masih cuba bergayut pada kuasa.

Satu tindakan tegas perlu diambil oleh Menteri Besar Perak yang merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak untuk mengatasi masalah ini. Cerita tentang masalah UMNO Batu Gajah sebenarnya bukan cerita baru dan tidak juga cerita rahsia terutama yang membabitkan Ketua Bahagiannya!
 
Sila lawat ke laman asal.