Rabu, 1 Jun 2011

Gagalnya Ikhwanul Muslimin

Oleh: Mohamad Ridhwan Bin Alias

Ikhwanul Muslimin ditubuhkan di Ismaliyya oleh as Shahid Iman Hasan al Banna pada tahun 1928 telah memberi sinar baru kepada kebangkitan semula Islam setelah tumbangnya kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki. Kemunculan al Banna sebagai tokoh gerakan Islam banyak memberi kelebihan kepada al-Ikhwan. Beliau dikurniakan kefahaman yang jitu tentang pelaksanaan Islam sebagai satu cara hidup telah berjaya menyebar-luaskan pengaruh amal Islami ke seluruh dunia Islam. Walaubagaimanapun kebangkitan semula Islam kurang disenangi oleh juak kuffar dan proksi mereka di negara umat Islam. Akibatnya al Banna sendiri telah dibunuh pada malam 12 Februari 1949.

Kematian al Banna memberi dampak negatif kepada al-Ikhwan. Selama tiga tahun Ikhwan ketiadaan pemimpin utama sehingga berlaku perebutan kuasa di kalangan pimpinan al-Ikhwan. Dalam tempoh tiga tahun ini, pentadbiran al-Ikhwan diletakkan di bawah pengendalian bersama oleh beberapa orang pimpinan al-Ikhwan iaitu Abdul Rahman al Banna, Salah Ashmawi dan Ahmad Hasan al Baquri. Pada bulan Oktober 1951, majlis syura telah melantik Hasan al Hudaybi, bekas hakim sebagai Mursyidul Aam al-Ikhwan yang kedua.

Pelantikan al Hudaybi ditentang hebat oleh pimpinan al-Ikhwan. Pengeseran ini dikatakan berpunca daripada personaliti al Hudaybi dimana beliau berasal dari keluarga yang berada berbanding al Banna dan beliau juga seorang bersifat lembut, mempunyai hubungan baik dengan istana dan bukanlah seorang orator dan pengasas al-Ikhwan. Krisis mula memjadi barah apabila majlis syura memecat Hasan al Baquri iaitu pemimpin yang disebut-sebut sebagai calon utama penganti Hasan al Banna sebagai Mursyidul Aam al-Ikhwan kerana mengingkari keputusan majlis syura agar berundur daripada kabinet Mohamad Naquib, ketua kerajaan revolusi.

Krisis kepimpinan al-Ikhwan bertambah parah semasa pemilihan pucuk pimpinan al-Ikhwan pada 8 Oktober 1953 dimana Hasan al Hudaybi disahkan sebagai Mursyidul Aam Ikhwanul Muslimin yang baru. Dalam pemilihan ini kumpulan yang bertentangan dengan al Hudaybi di bawah pimpinan Salah Mustapha Ashmawi telah tersingkir daripada majlis syura. Kumpulan ini bertindak merampas ibupejabat al-Ikhwan dan memaksa al Hudaybi meletakkan jawatan. Rampasan kuasa ini berjaya ditumpaskan oleh al-Hudaybi. Akibat perebutan pucuk pimpinan ini, beberapa pemimpin utama al-Ikhwan seperti Salah Ashmawi, Muhammad Ghazali, Sayyid Sabiq dan Abdul Aziz Jalah dipecat pada 9 Disember 1953. Pemecatan ini mengoncangkan perpaduan al-Ikhwan.

Sementara itu, pemerintah Mesir pimpinan Abdul Nasser, seorang sosialis mula merencanakan pembantaian terhadap al-Ikhwan pada tahun 1954 dengan mengharamkan al-Ikhwan pada 13 Januari 1954 ekoran pertempuran para mahasiswa al Ikhwan dengan pendukung pemerintah di Universiti al Azhar. Pada tahun 1954, Abdul Nasser telah menjatuhkan hukuman mati terhadap as shahid Abdul Qadir Audah, Timbalan Mursyidul Aam al-Ikhwan dan ulama al Azhar merangkap pejuang dalam perang dengan Inggeris, Sheikh Muhammad Farghali. Trajedi 1954 ini hampir meragut nyawa Mursyidul Aam al-Ikhwan, Hasan Hudaybi di tali gantung tetapi beliau diserang penyakit jantung dan dijangka akan meninggal dunia dalam masa beberapa jam. Abdul Nasser telah mengeluarkan surat pengampunan agar al Hudaybi mati di rumah bukannya di penjara tetapi Allah Maha Bijaksana dengan mengagalkan perencanaan jahat Nasser dengan melanjutkan umur al Hudaybi.

Pembantaian selanjutnya dilakukan pada tahun 1965. Sekelompok pimpinan al-Ikhwan mula mrencanakan kebangkitan semula al-Ikhwan secara sulit setelah diranapkan oleh Nasser. Mursyidul Aam telah menyerahkan obor perjuangan kepada pimpinan Syed Qutb Ibrahim dan dibantu oleh Hajjah Zainab Ghazali al Jabili, Ketua Umum Jamaah Muslimat dan Abdul Fattah Ismail. Usaha ini mengalami kesukaran kerana Syed Qutb terpaksa menyampai arahan dari penjara dan ia bertambah sukar apabila pergerakan pimpinan al-Ikhwan ini telah dihidu oleh cawangan khas Mesir. Akibatnya gerakan pemutihan dilakukan dengan menangkap sebahagian besar pengikut al-Ikhwan. Ramai tokoh al-Ikhwan dihukum jantung termasuklah Syed Qutb dan Abdul Fattah Ismail manakala Hajjah Zainab dihukum penjara seumur hidup.

Secara ringkasnya, kita telah menyelusuri krisis dan cabaran yang dialami oleh Ikhwanul Muslimin setelah kematian al Banna. Sekarang penulis mengoreksi kegagalan kepimpinan al Ikhwan dengan membuat perbandingan antara kelemahan gerakan Islam di Malaysia.

Kepimpinan intitusional

Kehebatan al Banna sendiri merupakan kelemahan Ikhwanul Muslimin. Al Banna bertanggungjawab menjadikan kepimpinan al Ikhwan lebih bersifat personal berbanding institusional. Akibatnya, selepas kematian beliau al-Ikhwan bagaikan kehilangan arah. Bayangkan selama 3 tahun al Ikhwan tiada kepimpinan utama sehingga menyebabkan organisasi al-Ikhwan tiada pengarahan pusat yang berwibawa.

Kita tidak menafikan kepentingan kewujudan figure gerakan Islam yang menjadi suri tauladan dan pembimbing kepada gerakan Islam. Walau bagaimanapun fungsi kepimpinan institusi gerakan Islam perlulah paling diutamakan. Kepimpinan institusi harus berteraskan musyawarah dan bersifat multidisiplin keilmuan agar gagasan bersama institusi dapat dijayakan. Pengantungan berlebihan kepada kepimpinan personal akan melemahkan proses pengkaderan gerakan Islam. Perkara ini telah terbukti dalam gerakan Islam seperti ABIM dan PAS. Kemasukkan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO telah menyebabkan perpecahan kepada ABIM manakala kematian tokoh dalam PAS bakal melemahkan kekuatan pimpinan pelapis PAS pada masa depan. Selama ini PAS terlalu bergantung kepada kekuatan kepimpinan personal yang dimiliki oleh pimpinannya yang tiga serangkai iaitu Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Fadzil Mohd Nor. Ketiadaan penganti figure yang berwibawa menyebabkan gerakan Islam kehilangan sinergi untuk mengembleng kekuatan masyarakat massa. Oleh itu, kekuatan institusi perlu diberikan suntikan dengan menampilkan ramai tokoh-tokoh yang berautoriti dan dihormati daripada bergantung harap kepada kekuatan personal pemimpin.

Konsep kepimpinan ulama sendiri memerlukan satu proses regenerasi agar ia difahami oleh generasi muda. Selama ini pendukung gerakan Islam terutamanya PAS selalu menyempitkan pemikiran bahawa seorang pemimpin seharusnya seorang ulama. Pendukung gerakan Islam perlulah memahami seseorang pemimpin tidak semestinya seorang ulama tetapi berjiwa ulama yang faham dan mengamal agama berdasarkan al Quran dan hadis secara syumul dan murni. Pemimpin profesional seperti Husam Musa, Takiyuddin Hasan, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Saari Sungib boleh diangkat menjadi pemimpin utama gerakan Islam dengan dinaungi oleh institusi kepimpinan ulama.

Perebutan kuasa

Perebutan kuasa merupakan suatu kebiasaan bagi sesuatu organisasi. Kita tidak dapat menghalanginya tetapi dapat meminimakan kewujudannya. Dalam kes al Ikhwan, perebutan kuasa hanya berkaitan permasalahan pendekatan dan bersifat peribadi. Para pimpinan al-Ikhwan masih taat kepada baiah Ikhwanul Muslimin dan menghormati antara satu sama lain. Lihatlah hubungan mesra al Hudaybi, Yusuf Qaradhawi dan Sayyid Qutb dengan Muhammad al Ghazali dan Sayyid Sabiq. Mereka cuba bersama dengan perkara yang mereka sepakati dan berpendirian tersendiri dan bersikap hormat-menghormati dengan perkara yang bertentangan. Perkara ini juga turut dialami oleh Zainab al Ghazali al Jabili dengan Iman Hasan al Banna. Zainab berulangkali menolak kemasukkan Jemaah Muslimat ke dalam bahagian Muslimat al-Ikhwan tetapi Zainab tetap menghormati al Banna dengan melayani permintaan al Banna untuk berpidato dalam perhimpunan al-Ikhwan.

Dalam gerakan Islam di Malaysia, krisis paling teruk berlaku pada awal 1980an sewaktu Anwar Ibrahim memasuki UMNO dan kejatuhan kepimpinan Asri Muda dalam PAS. Kedua-dua krisis kelihatan parah kerana ia melibatkan kumpulan beridealis yang berbeza. Krisis dalam ABIM melibatkan pihak yang pro Anwar Ibrahim yang beraliran nasionalisme-Islami dengan golongan anti kemasukkan Anwar ke dalam UMNO yang masih mematuhi janji ABIM kepada Bapak Natsir agar tokoh-tokoh ABIM membantu PAS dan menolak nasionalisme. Krisis idealis dalam PAS pula dikaitankan dengan kumpulan pro Asri yang beraliran nasionalisme-Islami dengan kumpulan muda pro ulama yang didominasi oleh tokoh-tokoh ABIM. Kedua-dua krisis ini membawa dampak yang besar kepada suasana gerakan Islam di Malaysia sehingga sekarang.

Menangani perubahan

Gerakan Islam di Malaysia bernasib baik kerana realiti politik golongan sekular-nasionalis di negara ini tidak seganas di Mesir. Kita hanya bertentangan dalam permasalahan idealis bukannya secara fizikal. Bagi mengatasi perencanaan musuh, satu tindakan bijaksana harus dirangka dan digagaskan. Kepimpinan gerakan Islam perlu membersihkan diri daripada gejala politik dendam dan berusaha menanam kehidupan politik dakwah yang berakhlak mulia di kalangan pendukung gerakan Islam.

Peningkatan pendidikan sejak awal 1980an menyebabkan kesedaran Islam kembali segar walaupun rakyat tidak mendukung sepenuhnya kesyumulan Islam. Orientasi dakwah perlulah bercitrakan persaudaraan Islam iaitu berbaik sangka dan saling maaf memaafkan. Kritikan haruslah ditangani dengan beradab seboleh-bolehnya hanya mengkritik polisi institusi dan sifat umum manusia bukannya sifat peribadi selagi tidak terpaksa. Iman Hasan al Banna sendiri pernah menasihati Muhammad al Ghazali apabila ditanya kenapa kita tidak membenci si polan tertentu. Jawab al Banna‘ jangan sekali-kali ada unsur negatif di hatimu terhadap seseorang. Anda membenci perbuatannya tetapi jangan berhenti dari mengharapkan petunjuk buatnya’. Inilah nasihat seorang daie yang hebat hati nuraninya kepada pengikutnya. Justeru, kepimpinan Islam haruslah bersedia berbincang bersama-sama dengan pihak bertentangan dengan menjalinkan persefahaman.

Pemimpin yang berpendirian keras tidak akan mendapat tempat dalam suasana politik masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk. Gerakan Islam haruslah menonjolkan sifat hikmah dalam menjalankan pelan tindakan secara bertahap-tahap agar perubahan yang dilakukan tidak menerima bantahan. Contohnya, proses penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud perlu dimulai dengan pendidikan dan penerangan. Hajjah Zainab telah melaksanakan satu program pendidikan selama 13 tahun di Mesir bagi melaksanakan negara Islam dan hukum Allah. Selepas itu dilakukan survey, jika jumlah kelompok beriman kepada ajaran Islam kurang 25% maka masa belajar dan pendidikan akan dilanjutkan selama 13 tahun lagi. Begitulah seterusnya sehingga jumlah tersebut meningkat menjadi 75%. Barulah negara Islam dan hukum hudud dilaksanakan pada saat itu juga.

Keterbukaan kepimpinan

Kepimpinan gerakan Islam perlu mempunyai kebolehan menerima gagasan-gagasan bersifat kontemporari dan diadunkan dengan hikmah-hikmah dari al Quran dan hadis. Al Banna mempunyai kefahaman yang jitu dengan menapis dan menyerap nilai-nilai murni daripada gagasan atau idealis Barat. Konsep nasionalisme sebagai contoh diasimilasikan dengan konsep nasionalisme ummatik dan nasionalisme keagungan [Siddiq Fadzil]. Kebolehan menganalisis gagasan ini membolehkan para pimpinan gerakan Islam terus mara menerobos tembok-tembok intelektual yang cukup mencabar pada masa kini. Tembok-tembok intelektual yang bersifat humanisme dan pro-material telah melingkari masyarakat massa merupakan satu cabaran hebat bagi pemimpin Islam untuk meruntuhnya dengan aspirasi Islam. Pendekatan kepimpinan mestilah menyediakan alternatif Islam bukannya bersifat destruktif. Dengan itu Islam akan dianggap sesuai sepanjang zaman.

Kesimpulan

Kegagalan kepimpinan Ikhwanul Muslimin merupakan satu pengajaran kepada gerakan Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Kegagalan ini bukanlah kelemahan hakiki bagi gerakan Islam tetapi berorientasi proses pendewasaan bagi gerakan Islam dan Ikhwanul Muslimin sendiri. Bagi gerakan Islam di Malaysia, sejarah perjuangan Ikhwanul Muslimin harus diamat-amati dan dihadami dengan penuh ketelitian.


Referensi

Siddiq Fadzil, Hasan al Banna: Kepeloporannya Dalam Gerakan Reformasi, YIT, 2000.
Mohammad Redzuan Othman, Mengapa Ikhwan Gagal?, Majalah Tamadun Mac 1999[Islamika IV, 1991].
Zainab al Ghazali al Jabili, Perjuangan Wanita Ikhwanul Muslimin, Gema Insani, 1987.
Yusof Qaradhawi, 70 Tahun al Ikhwan al Muslimin, Pustaka al Kautsar, 1999.
____________
Penulis boleh dihubungi melalui emel: tokawang_sufi@hotmail.com