Rabu, 1 Jun 2011

PAS kata Malaysia sekular?

Thursday, May 12, 2011

Malaysia negara Kristian? Hakikatnya Malaysia Adalah Negara Sekular.


Nampaknya sekali lagi media cetak milik parti sekular UMNO, Utusan Malaysia, memainkan emosi umat Islam dengan menaikkan isu kononnya ada usaha yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dari kalangan penganut agama itu.


Sungguh licik permainan golongan sekular ini menjelang kehangatan PRU-13 sedangkan hakikatnya Malaysia yang selama ini diperintah oleh kerajaan sekular UMNO telah dengan bangganya dan merasa tidak berdosa sedikitpun menerapkan undang-undang kufur yang dihadiah oleh Lord Reid.


Kenapa isu tidak diambil pusing oleh ramai umat Islam?

Selama lebih 50 tahun Malaysia telah 'merdeka' dari penjajah namun undang-undang dan perlembagaan kufur Lord Reid tetap hidup subur dan dianggap sebagai harga mati oleh pemerintah sekular yang berkuasa pada hari ini.

Untuk itu jelas sekali isu ini sengaja diangkat untuk memainkan dan mencuit emosi umat Islam bagi tujuan politik parti sekular UMNO itu sendiri. Kita tidak menafikan bahawa musuh-musuh Islam akan senantiasa berusaha memusuhi dan memerangi Islam dan umat Islam. Firman Allah SWT:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”. [TMQ Al Baqarah (2) : 120].

Tetapi apa yang lebih buruk lagi adalah pengkhianatan yang dilakukan oleh para pemimpin umat Islam hari ini terhadap Islam dan umat Islam itu sendiri.

Faktanya, umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia amnya perlu menyedari bahawa Malaysia seperti juga negara-negara umat Islam yang lain adalah merupakan negara kufur walaupun para pemimpinnya dan majoriti penduduknya terdiri dari kalangan umat Islam.

Selama mana perundangan yang diterapkan adalah hukum kufur, selama itulah status ini akan kekal....sampai bila wahai umat Islam????

MALAYSIA - NEGARA ISLAM ATAU SEKULAR?

Isu Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Islam’ mula diperkatakan dengan hangat apabila Dato’ Seri Dr. Mahathir (Perdana Menteri Malaysia ketika itu) mengisytiharkannya secara terbuka pada 29/09/01 semasa Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan ke-30 Parti Gerakan Rakyat Malaysia.

Bermula dari sini, ada pihak yang kerana ingin menjaga periuk nasi hanya tunduk dan ‘yes sir’ sahaja kepada apa yang diumumkan. Di samping itu, tidak kurang juga bilangan pihak yang menyanggah pernyataan tersebut, termasuklah dari golongan bukan Islam sendiri.

Yang pasti, perdebatan mengenainya sehingga kini masih belum sampai ke penghujung. Baru-baru ini pula, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab pertanyaan dari wartawan mengatakan bahawa Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri.

Menurutnya lagi, Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi didorong oleh asas Islam kerana perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi.

Ketika diajukan soalan tentang kerajaan kelihatan sedang menuju ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, Najib berkata: “Saya perlu betulkan anda. Kita tidak pernah menjadi sekular kerana sekular seperti yang ditakrif oleh Barat bererti meminggirkan prinsip Islam daripada cara kita mentadbir negara. Kita tidak pernah berpendirian sedemikian (kerana) kita sentiasa didorong oleh pegangan kita kepada asas Islam. Tanggapan anda adalah salah.” [UM 18/07/07]

Hasil dari kenyataan Najib tersebut, banyak pihak yang tidak berpuas hati dan menyuarakan ketidaksetujuan mereka, termasuklah dari Parti Komponen Barisan Nasional sendiri.

Dalam reaksinya, Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan memetik memorandum yang diserahkan oleh Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid pada 27/09/1956 yang berbunyi “Agama Malaysia adalah Islam. Kepatuhan kepada prinsip ini tidak boleh boleh meminggirkan rakyat bukan Islam yang memeluk dan mengamalkan agama masing-masing dan tidaklah bermakna bahawa Malaysia bukannya Negara Sekular”.

Ong seterusnya memetik satu nota yang disediakan oleh Colonial Office bertarikh 23/03/1957 semasa London Conference Talks yang berbunyi,

“Para anggota delegasi Parti Perikatan menekankan bahawa mereka tidak ada niat untuk mewujudkan (negara) teokrasi Muslim tetapi bahawasanya Malaya akan menjadi Negara Sekular”. “Ini adalah niat asal yang begitu jelas dan nyata oleh ahli-ahli UMNO, MCA dan MIC”, kata Ong.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Wong Nai Chee pula menyatakan bahawa sifat semulajadi Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya sekular menjadi asas kepada pembentukan bangsa semenjak 1957 dan diimplementasikan semula pada 1963 (semasa penubuhan Malaysia). “Kedudukan Perlembagaan bahawa Malaysia adalah Negara Sekular juga telah disahkan oleh Mahkamah Agung pada tahun 1988 di dalam kes Pendakwaraya –vs- Che Omar”, tegas Wong lagi. [The Star 19/07/07]