Rabu, 6 Julai 2011

Anwar Makin Cemas, Gantung Harap Bersih, Ambiga Jadi Talian Hayat

Oleh : Tg Azman Tg Abas
Share

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mugkin gelisah dan cemas dengan kegagalan dalam rayuannya bagi mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah yang enggan menarik diri daripada mendengar kes liwat melibatkan beliau.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata keputusan berkenaan yang turut menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan keputusan hari ini sehingga rayuannya didengar oleh Mahkamah Persekutuan sudah pasti akan menambahkan lagi kegelisahannya.

Justeru beliau tidak menolak kemungkinan Anwar yang cukup terkenal dengan “putar alam“ akan menggunakan apa jua strategi termasuk perhimpunan BERSIH pada 9 Julai nanti dalam usaha mengalih tumpuan rakyat terhadap segala skandal dan dakwaaan yang melibatkan diri Ketua Umum PKR itu.

“Saya percaya perhimpunan BERSIH akan jadi salah satu platform dia kelak. Namun dia juga mungkin lupa penganjur perhimpunan berkenaan, Datuk Ambiga Sreenevasan mempunyai agenda sendiri dan akan memperalatkan Ketua pembangkang berkenaan untuk mencapai cita-citanya.

“Begitu juga dengan parti pembangkang lain yang akan tumpang semangkuk populariti Anwar di kalangan penyokong pembangkang lain. Maknanya di sini saya melihat masing-masing diperalatkan antara satu sama lain.

“Atas alasan itu, kita sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah dan berdaulat perlu melihat dengan jelas bagaimana politik pembangkang yang masing-masing mempergunakan antara satu sama lain,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya hari ini bagi mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah yang enggan menarik diri daripada mendengar kes liwat melibatkan beliau.

Hakim Datuk Hasan Lah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Malik Ishak dan Hakim Datuk Ahmad Ma’arop, berkata tidak ada sebab bagi Mahkamah Rayuan untuk tidak bersetuju dengan keputusan Hakim Mohd Zabidin.

Panel tiga hakim itu juga menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan keputusan hari ini sehingga rayuannya didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

Anwar membuat rayuan itu berhubung keputusan Hakim Mohd Zabidin pada 6 Jun lepas untuk menolak buat kali ketiganya permohonan supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar kes liwat berkenaan.

Dalam permohonannya itu, Anwar mahu hakim lain mendengar kes liwat terhadapnya kerana mendakwa Hakim Mohd Zabidin telah membuat keputusan awal dalam kes itu dengan menerima sebagai betul keterangan saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan seterusnya membidas pihak tertentu yang seolah-olah sanggup menjadikan negara sebagai taruhan demi menjayakan cita-cita politik mereka.

“Cukup-cukuplah kerana negara kita hari ini sudah mencapai keamanan dan kejayaan yang dinikmati oleh semua pihak tanpa mengira kaum dan agama. Janganlah kita hancurkan apa yang kita ada hari ini atas dasar politik dan kepentingan diri masing-masing.

“Sepatutnya kita perlu sama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk memastikan kelangsungan kejayaan hari ini terus berada di puncak,” ujarnya. -MediaUMNO