Oleh : Tg Azman Tg Abas
Share
KUALA LUMPUR, 6 Julai – PATRIOT hari ini membantah sekeras-kerasnya cadangan penganjur himpunan BERSIH untuk mengadakan himpunan mereka di Stadium Merdeka kerana telah bertembung dengan lokasi awal himpunan aman PATRIOT.
Pengerusinya, Datuk Abd Azeez Abd Rahim berkata mereka telah memohon daripada pihak Polis Dang Wangi pada 21 Jun yang lalu menerusi Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar untuk mengadakan himpunan aman PATRIOT di stadium berkenaan.
Sambil menunjukkan salinan permohonan berkenaan, beliau seterusnya menambah sehingga kini pihaknya masih belum menerima apa-apa keputusan daripada pihak berkuasa berhubung permohonan berkenaan.
“Sama ada berhimpun di stadium ini atau sebaliknya kita akan putuskan setelah mendapat keputusan mengenai permohonan tersebut. Kita akan akur dengan segala keputusan yang mengikut lunas undang-undang.
“Dan kita juga tidak akan benarkan mana-mana pihak untuk mengadakan demonstrasi di Stadium Merdeka kerana tempat laungan merdeka telah dilakukan di stadium berkenaan dan itu amat nostalgia bagi kita.
“Kalau kita tengok kaedah demonstrasi atau himpunan haram yang ingin dilakukan oleh BERSIH, sudah tentunya jauh sama sekali dengan apa yang PATRIOT nak buat. Kita buat untuk pertahankan benteng, manakala BERSIH adalah untuk menjatuhkan kepimpinan negara,” katanya.
Beliau yang juga Kelab Putera 1Malaysia seterusnya menambah PATRIOT akan menghalang sesiapa jua yang ingin mengadakan demostrasi jalanan.
“Kewujudan PATRIOT hari ini telah berjaya menghalang pihak tertentu mengadakan demonstrasi jalanan yang cukup hodoh dan mengugat keselamatan dan kemanan rakyat,” ujarnya.
Beliau seterusnya mempersoalkan kenapakah pihak penganjur BERSIH tidak menerima tawaran daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menggunakan stadium Shah Alam untuk tujuan berkenaan.
“Kenapa mereka beriya-iya mahukan stadium Merdeka. Kita percaya mereka akan menggangu gugat dari sudut cara mereka nak masuk ke dalam stadium dan sebagainya. Justeru kita minta pihak polis tegas dan apa pun kami akur dengan apa jua tindakan polis yang berlandaskan undang-undang,“ katanya. -MediaUMNO