Jumaat, 8 Julai 2011

BOOKIE EDAR DADAH KE TALI GANTUNG

GEORGE TOWN, 8 Julai (Bernama) -- Seorang bookie perjudian dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di  sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 913.2 gram heroin dan 11.8 gram monoacetylmorphines tiga tahun lepas.
   
Hakim Mohd Amin Firdaus Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan  munasabah terhadap pertuduhan terhadap Tang Khay Leng, 40, yang didakwa melakukan kesalahan berkenaan di hadapan bilik bernombor 711, Hotel Malaysia, Jalan Penang  pada 3 petang 24 Jan 2008.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama  yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Tang, yang berseluar jeans biru dan kemeja-T putih, kelihatan tenang ketika penghakiman dibacakan. Dia diwakili peguam Gooi Soon Seng manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, L. Uma Devi.