Isnin, 18 Julai 2011

DARI MEJA KETUA PENERANGAN PERKASA DAERAH LARUT MATANG & SELAMA



Assalamualaikum w.b.t,

             Saya ingin menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana telah memberikan ruang kepada saya untuk memulakan perjuangan di dalam Perkasa Daerah Larut Matang & Selama bagi memartabatkan agama, bangsa dan negara yang dicintai ini. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada Pengerusi Perkasa Daerah LMS iaitu Sdra Baqer B Che Run (sahabat lama) kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk membantu memperkasakan organisasi ini. Begitu juga jutaan terima kasih kepada semua AJK Perkasa Daerah LMS yang turut sama berjuang di landasan yang sama

             Dengan bermulanya entri ini maka saya akan terus bersuara secara jujur dan ikhlas serta penuh ketegasan demi memastikan agama Islam terus tegak sebagai Agama Rasmi Malaysia serta bangsa Melayu tetap berdiri teguh sebagai ‘Tuan’ di bumi Malaysia ini. Saya percaya bahawa dengan niat yang ikhlas maka Allah akan memberikan lorong dan bantuan kepada kita bagi melaksana serta menjayakan agenda besar tersebut.

           Saya akan terus berjuang untuk melihat penyatuan umat Melayu tanpa mengira sempadan politik. Keutamaan saya ialah untuk melihat Melayu bersatu sebelum terlambat dan sebelum kita hilang segalanya. Tembok keegoan pemimpin-pemimpin Melayu perlu diruntuhkan kerana itulah penyebab utama mengapa kita gagal untuk bersatu sehingga ke hari ini. Kita telah berkelahi sesama kita selama lebih dari 60 tahun dan di dalam tempoh itu kita telah hilang dan tergadai banyak perkara. Pemimpin-pemimpin Melayu lebih mementingkan politik sendiri sehinggakan nasib bangsa kita telah terabai. Masing-masing ego dan masing-masing tidak mahu berkendur dan sebagai pertaruhannya, masa depan bangsa Melayu menuju kearah kehancuran. Sedang dalam masa yang sama bangsa lain sedang ketawa dan bertepuk tangan melihat keletah dan aksi lawak bangsa kita. Biarlah Melayu bergaduh sesama Melayu kerana dengan pergaduhan itu bangsa Melayu tidak akan ke mana-mana. Peluang yang terlepas dari tangan Melayu maka bangsa lain yang menjadi empunya.

           Agama Islam perlu diselamatkan daripada terus dilacurkan dengan murahnya oleh golongan-golongan yang berkepentingan politik semata-mata. Islam bukan bahan dagangan dan Islam bukan bahan mainan. Islam adalah addeen (Agama Yang Suci) dan perlu dipertahankan sepenuh hati oleh semua umat Islam. Kalau ada pihak-pihak yang mempermainkan perkara seperti yang tersebut di atas, maka kita sebagai umat Melayu yang beragama Islam wajib bangkit untuk mempertahankannya. Biarlah kita tidak popular atau hilang merit politik asalkan Allah sayangkan kita.

        Sekian, salam perjuangan dari saya.

MUKTHER RIZAM BIN AHMAD
17 Julai 2011