Ahad, 17 Julai 2011

Jamuan Rakyat Daerah LMS disambut meriah




Sultan Azlan bermesra dengan rakyat jelata

Lebih 2,000 tetamu dari segenap lapisan masyarakat menghadiri Jamuan Rakyat peringkat Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di perkarangan Zoo Taiping, yang diserikan dengan kehadiran Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Ketibaan Sultan Azlan bersama Permaisuri Perak, Tuanku Bainun pada jam 5 petang disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pembesar negeri serta pegawai kanan kerajaan antaranya Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Jamaludin Al Amini.

Jamuan itu diadakan sempena ulangtahun keputeraan Sultan Azlan yang ke-83 pada tahun ini.
Cantik

Majlis turut ceria dengan pertunjukan kebudayaan yang berwarna-warni yang dipersembahkan oleh pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Azlan Shah (Seratas) sambil tetamu disajikan dengan pelbagai juadah yang menyelerakan.

Terdahulu, Zambry dalam ucapannya, berkata pembangunan di daerah itu akan diteruskan walaupun kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pokok Assam dan Aulong dikuasai pihak pembangkang.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) mengamalkan keadilan sosial dan berpendirian perbezaan politik tidak akan menghalang rakyat daripada menikmati pembangunan dan bantuan kebajikan yang sewajarnya.

Tegasnya, ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai sasaran negeri maju menjelang 2015.
Menteri Besar Perak

“Kerajaan negeri sedang dan akan terus melaksanakan kebajikan kepada rakyat dan ia bukan sekadar retorik semata-mata.

“Dasar kebajikan ini disediakan bermula dari dalam buaian lagi sehinggalah seseorang itu dimasukkan ke dalam liang lahat,” katanya lagi.

Sementara itu, Taiping katanya, amat berpotensi untuk membangun dan kerajaan negeri juga mengambil berat pembangunan di kawasan itu dengan mendengar serta menyelesaikan setiap permasalahan rakyat.

“Daerah Larut Matang dan Selama khususnya Taiping begitu terkenal dalam lipatan sejarah negara kerana mempunyai banyak bangunan serta peninggalan pertama seperti Zoo Taiping, Taman Tasik Taiping, Bukit Larut dan stesen keretapi terawal dari Port Weld-Taiping.

“Bandar ini tidak seharusnya tinggal dalam lipatan sejarah sebaliknya cukup berpotensi dibangunkan demi kesejahteraan negeri dan rakyat Perak,” katanya.

Zambry turut mengingatkan rakyat supaya bersatu-padu dan mengekalkan keamanan yang dinikmati hari ini.

“Tidak dapat dinafikan, kerajaan juga mempunyai kelemahan tetapi ia dapat diatasi melalui proses penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.