Penjenayah muda |
KUALA LUMPUR, 17 Julai — Polis menahan empat remaja termasuk dua pelajar tingkatan lima dan seorang pelajar kolej awal pagi tadi, selepas disyaki menyamun sebuah rumah di Bandar Tun Hussein Onn, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata kesemua mereka yang berusia antara 17 dan 20 tahun itu ditahan di sekitar Kajang kira-kira pukul 2.30 pagi hasil maklumat mangsa samun.
Mengulas kejadian itu kepada pemberita hari ini, beliau berkata keempat-empat mereka yang bersenjatakan sebilah pedang samurai memasuki rumah terbabit kira-kira pukul 7.30 malam dan bertindak mengikat pembantu rumah yang tinggal bersendirian.
Mereka kemudian menggeledah rumah tersebut sebelum melarikan barang kemas dan telefon bimbit dianggar bernilai RM50,000.
“Polis berjaya merampas pedang samurai tersebut dan juga barang yang disamun daripada suspek,” katanya.
Beliau berkata seorang daripada mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun di sebuah kedai serbaneka sebelum ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan bersenjata.
Pada sidang media itu juga Ab Rashid berkata polis menemui mayat bayi yang telah berulat di Kampung Sungai Ramal Baru hari ini. Mayat bayi yang tidak dapat dikenal pasti jantina mahupun usia itu ditemui seorang lelaki yang sedang meracun rumput berhampiran rumahnya kira-kira 9.45 pagi.
“Lelaki itu menemui satu beg plastik berwarna putih yang berbau. Curiga dengan keadaan itu, lelaki terbabit bertindak membuka beg plastik tersebut dan menemui mayat bayi malang itu,” katanya. Mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Sumber Perak Today