KUALA LUMPUR, 18 Julai -- Presiden Institut Pengurusan Malaysia (MIM) Tun Mohammed Hanif Omar berkata pemimpin yang berkesan harus menghargai nilai dan pandangan penyokong masing-masing.
Katanya falsafah tersebut adalah selaras dengan objektif Anugerah Kepimpinan Belia Tun Razak (TRYLA) MIM-Masterskill bagi membangunkan kepimpinan di kalangan belia Malaysia berusia antara 21 dan 35 tahun.
Selain itu, katanya ia bertujuan mempersiapkan mereka bagi merebut peluang dan cabaran yang bakal dihadapi pada masa depan dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.
"Tahun ini, TRYLA MIM-Masterskills telah memupuk 51 belia berbakat dari pelbagai negeri di Malaysia selain seorang belia dari Sierra Leone," katanya pada majlis jamuan malam sempena penutupan TRYLA MIM-Masketskills di sini hari ini.
Turut hadir ialah Toh Puan Rahah Tan Sri Mohd Noah, balu Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Program enam hari itu mulai 13 Julai lalu bertujuan menjadikan para peserta toleran dan menghargai latar belakang pelbagai rakyat melalui sesi ceramah oleh penceramah jemputan, aktiviti membina semangat berpasukan, permainan strategik dan senaman.
Hanif, bekas ketua Polis Negara, berkata peserta juga dibawa ke Penjara Wanita Kajang di mana mereka dibenar berinteraksi dengan penghuni penjara berkenaan.
Sementara itu, peserta asing tunggal, Joshua Tamba, 23, dari Freetown, Sierra Leone, berkata program itu membolehkan beliau lebih toleran dan menghargai masyarakat pelbagai later belakang.
Tamba, yang mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata beliau juga tertarik dengan kandungan program yang menekankan kepada potensi kepimpinan di kalangan belia.