KUALA LUMPUR, 30 Julai - Seniman Negara 1995, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal meninggal dunia di kediamannya di Gombak di sini, kira-kira 10 malam ini. Perkara itu disahkan sumber dari Unit Perhubungan Awam Balai Seni Lukis Negara yang dihubungi Bernama di sini.
Allahyarham berusia 82 tahun dan meninggalkan balu Datin Hamidah Mohd Noor dan dua anak lelaki. Syed Ahmad yang berasal dari Muar, Johor mendapat pendidikannya di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Baharu sebelum melanjutkan pengajian di Birmingham School of Architecture pada 1950 hingga 1951 dan Chelsea School of Art, London pada 1951 hingga 1955.
Pada 1955 hingga 1956, beliau meneruskan pengajian di Institute of Education, University of London bagi mengambil sijil pengajaran dalam bidang seni disusuli dengan pengajian di School of Art Institute of Chicago, Illinois, Amerika Syarikat pada 1963 hingga 1964 sebelum mengikuti pengajian Sarjana di University of Hawaii dalam bidang seni pada 1973 hingga 1975.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya dari tahun 1979 hingga 1982 serta pensyarah di Malayan Teachers Training College, Kirkby, England dari 1958-1959.
Beliau antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Balai Seni Lukis Negara dan memegang jawatan Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari 1983 hingga 1991.
Syed Ahmad merupakan seorang pelukis yang berbakat besar dan telah menghasilkan karya seni yang penuh penghayatan untuk tatapan para pencinta seni.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.