Khamis, 21 Julai 2011

SURUHANJAYA DAPATI TEOH BENG HOCK BUNUH DIRI

Kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor, dikenal pasti berpunca daripada bunuh diri.

 
Keputusan mengenai punca kematian Teoh itu terkandung dalam laporan penuh prosiding Suruhanjaya Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang didedahkan kepada umum hari ini.


Laporan setebal 124 muka surat itu merupakan keputusan sebulat suara oleh kesemua anggota panel Suruhanjaya berkenaan yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.


Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

   
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan  terbuka berhubung kes berkenaan.

Prosiding suruhanjaya itu bersidang selama 50 hari dan membabitkan 70 saksi di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini sejak 14 Feb dan berakhir pada 10 Mei lalu.

Harap selepas ini SPRM akan meneruskan siasatan terhadap penyelewangan dana kerajaan negeri Selangor sebanyak RM 500 ribu terhadap pembelian sebidang tanah di negeri tersebut.

DAP juga patut mempersoalkan berapa pula wang awam yang digunakan dalam siasatan ini. Siapa TBH yang mendapat layanan sedemikian rupa?

Pas dan Dap mempersoalkan peruntukan kewangan yang digunakan oleh PDRM dalam memberikan dan menyediakan makanan terdapat hampir 2 ribu tahanan demo pada 9 Julai lalu.

Kenapa mereka diam dalam isu TBH?

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pendidikan Pencegahan Rasuah Malaysia (PPPRM) Datuk Shahrul Nizam Yunos berkata semua rakyat Malaysia perlu menerima keputusan tersebut tanpa sebarang prejudis kerana ia dibuat oleh sebuah suruhanjaya yang telus, berkaliber dan yang paling penting, dilantik oleh Yang
di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.


Beliau berkata kelemahan SPRM dalam menjalankan siasatan bukan punca utama mendiang Teoh  mengambil keputusan drastik untuk membunuh diri.


"Pada pendapat saya, beliau (Teoh) adalah seorang yang gagal menyerap tekanan. Kalau dilihat, bukan beliau sahaja yang pernah disiasat SPRM, malah beribu-ribu rakyat Malaysia pernah disiasat SPRM, dan mereka ini semua berjaya melalui proses itu.

"Apa yang dapat dilihat di sini, dan boleh ditafsir, bahawa kemungkinan mendiang juga mahu  menyelamatkan maruah mereka yang pernah berjasa kepadanya dengan menjadi wira kepada majikan yang selama ini membantu beliau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahrul Nizam berkata SPRM tidak harus dijadikan korban bagi merealisasi cita-cita sesetengah pihak untuk berada di tampuk pemerintahan.

"Saya ingin merayu kepada pihak-pihak yang mempunyai agenda politik dalam membahaskan isu kematian Teoh ini, tolong keluarkan SPRM daripada senarai mangsa politik sempit mereka," katanya.