Rabu, 13 Julai 2011

Video Tian Chua bersama kumpulan lelaki serang polis didedahkan

KUALA LUMPUR 12 Julai - Pembangkang dipercayai sengaja merancang drama bagi memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim cedera semasa menyertai demonstrasi haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di KL Sentral Sabtu lalu.

Hakikat itu terbukti apabila satu rakaman video mendedahkan bagaimana Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, mengetuai puluhan lelaki cuba menyerang Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sewaktu berhimpun bersama dengan Anwar di situ.

Ia sekali gus menyangkal dakwaan kononnya polis bertindak ganas sewaktu menyuraikan demonstrasi haram itu, sebaliknya mendedahkan hakikat sebenar iaitu, golongan yang liar adalah pihak pembangkang dan pihak berkuasa cuma mempertahankan diri.

Video tersebut didedahkan blog, http://ruangbicarafaisal.blogspot. com dan ia dengan jelas memaparkan Tian Chua serta puluhan lelaki melaungkan perkataan 'serang' kemudian membuat kiraan satu sampai tiga, sebelum meluru ke arah FRU.

Keadaan itu memaksa, anggota FRU yang berada kira-kira 10 meter dari Tian Chua dan kumpulan perusuh, melepaskan gas pemedih mata yang mana salah satu daripada kelongsong peluru dipercayai terkena muka pengawal peribadi Anwar.

Pada masa yang sama, terdengar pula arahan daripada salah seorang perusuh supaya keadaan kelam-kabut (akibat gas pemedih mata) yang sengaja ditimbulkan Tian Chua dan kumpulan lelaki tersebut, dirakam dengan segera.

Dalam pada itu, blog ruangbicarafaisal memberitahu, rakyat perlu menilai siapa sebenarnya yang ganas dan wajar atau tidak tindakan polis melepaskan gas pemedih mata, sehingga menyebabkan Anwar cedera selepas provokasi Tian Chua.

"Sudah tiga hari mereka mendendangkan isu polis ganas. Sekarang anda saksi dan nilai sendiri sama ada wajar atau tidak tindakan polis kerana provokasi Tian Chua. Gerombolan inilah yang menyebabkan pihak berkuasa terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

"Gas tersebut juga terkena kepada Anwar yang ketika itu berada di lokasi yang sama, sehingga menyebabkan dia terpaksa mendapat rawatan di hospital," kata blog tersebut.