Ahad, 14 Ogos 2011

Kerajaan Pusat Memperuntukan RM57,000 Bantu Mangsa Ribut Tok Uban

Ibrahim Ali (duduk tengah) beramah mesra dengan sebahagian daripada 41 mangsa ribut selepas menyampaikan bantuan tersebut di pekarangan Masjid Kangkong, Chetok, Pasir Mas, Kelantan.

Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM57,000 bagi membantu 41 mangsa ribut di Kampung Tok Uban dekat sini, yang kediaman mereka rosak dalam kejadian 12 Julai lalu.

Bantuan di bawah Tabung Bencana Alam, Majlis Keselamatan Negara itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dalam satu majlis ringkas di pekarangan Masjid Kangkong, Chetok dekat sini, petang semalam.


Beliau turut menyampaikan sumbangan kain pelikat dan baju pasang kepada semua mangsa terlibat.

Ibrahim ketika ditemui berkata, bantuan itu diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas beliau membuat permohonan baru-baru ini bagi membolehkan mangsa membaik pulih segera rumah mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Beliau berkata, bantuan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kerosakan sederhana yang menerima bantuan RM1,000 seorang dan kerosakan teruk RM3,000.

"Bantuan ini akan meringankan beban mangsa ribut untuk membeli kayu, zink dan sebagainya bagi membaiki rumah mereka. Ini akan membolehkan mereka menyambut hari raya dengan lebih gembira," katanya.

Sementara itu, beberapa penerima melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada Kerajaan Pusat serta Ibrahim yang prihatin terhadap kesusahan mereka selepas berlaku bencana tersebut.

Seorang penerima, Ab. Latiff Daud, 68, berkata, rumahnya rosak selepas dihempap pokok yang tumbang akibat ribut.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.