Selasa, 4 Oktober 2011

Peguam PM kemuka afidavit

PEGUAM yang mewakili Najib   dan Rosmah, Datuk Salehuddin Saidin (tengah); Afifuddin Afifi  (dua dari kiri); Datuk Ghazi Ishak (kiri), MM Athikulan (kanan) dan Hisyam  (dua dari kanan) ketika hadir di Mahkamah Jalan Duta, semalam.
PEGUAM yang mewakili Najib dan Rosmah, Datuk Salehuddin Saidin (tengah); Afifuddin Afifi (dua dari kiri); Datuk Ghazi Ishak (kiri), MM Athikulan (kanan) dan Hisyam (dua dari kanan) ketika hadir di Mahkamah Jalan Duta, semalam.
Mahkamah dengar hujah untuk ketepi sepina kes liwat Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tidak dapat memberikan keterangan relevan bagi membantu pembelaan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pertemuannya dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan berlaku sebelum kejadian liwat seperti dinyatakan dalam tuduhan, Mahkamah Tinggi semalam diberitahu.
Peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik, berkata demikian ketika membacakan afidavit diikrarkan Perdana Menteri bagi menyokong hujah mengetepikan sepina terhadap anak guamnya.
Katanya, apa yang diberitahu Mohd Saiful kepada Najib dalam pertemuan pada 24 Jun 2008 membabitkan kejadian yang dikatakan berlaku sebelum pertemuan berkenaan.

Hisyam berhujah bagaimana keterangan Najib boleh membantu Anwar sedangkan beliau tidak tahu menahu dan tidak dimaklumkan berhubung kejadian liwat yang dikatakan berlaku terhadap Mohd Saiful pada 26 Jun 2008 (seperti dalam tuduhan).

“Perdana Menteri menegaskan beliau hanya berjumpa dengan bekas pembantu Anwar itu sekali saja dan tidak pernah mengenalinya sebelum itu. Dalam pertemuan itu, Najib memberitahu Mohd Saiful untuk menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak polis membuat siasatan.

“Beliau (Najib) juga menafikan terdapat konspirasi membabitkan beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengada-adakan tuduhan liwat itu bagi memudaratkan Anwar dan tidak pernah memberi arahan atau bersubahat dengan sesiapa bagi mereka-reka apa-apa keterangan untuk menuduh Anwar melakukan perbuatan liwat terhadap Mohd Saiful, ” katanya.
Katanya, dalam afidavit diikrarkan oleh Rosmah pula, isteri Perdana Menteri memberitahu beliau tidak pernah berjumpa dan bercakap dengan Mohd Saiful pada bila-bila masa dan tidak pernah mengenalinya.

Sehubungan itu, katanya, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mengetepikan sepina itu jika ia satu proses penyalahgunaan mahkamah, bukan niat baik selain saksi sememangnya tidak boleh memberikan keterangan yang material serta relevan.

Katanya, pertemuan antara Najib dan Mohd Saiful pada 24 Jun 2008 tidak mempunyai sebarang kaitan dan tidak relevan kepada tuduhan liwat yang berlaku dua hari kemudian.

Hisyam berkata, isu utama dalam kes pembelaan sama ada ia boleh mewujudkan sebarang keraguan kepada kejadian liwat berkenaan.

Katanya, alasan kedua-dua sepina untuk mendapatkan penjelasan dan pengesahan daripada Najib serta penjelasan daripada Rosmah, dan ia tidak memenuhi prinsip perundangan keterangan itu mesti material dan relevan.

“Ia juga satu proses penyalahgunaan mahkamah bagi mendapatkan maklumat lain,” katanya.

Hujah Hisyam disokong oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang menyatakan Anwar tidak dapat menunjukkan keterangan Najib dan Rosmah relevan dan material dalam kes pembelaan.

Peguam Anwar, Karpal Singh berhujah anak guamnya mahukan penjelasan berhubung apa yang dibincangkan dalam pertemuan antara Najib dan Mohd Saiful selama setengah jam berikutan tiada cara lain kerana Perdana Menteri enggan ditemuramah sebagai saksi berpotensi.