Isnin, 23 Januari 2012

DS Zambry Ziarah Keluarga Susah



Kerajaan akan terus melaksanakan usaha pembasmian kemiskinan meliputi semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama tidak kira di mana sahaja mereka berada, demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Katanya, masih ada segelintir rakyat di negeri itu tinggal dalam rumah yang serba daif dan uzur tanpa bekalan elektrik hingga boleh mengancam keselamatan nyawa si penghuninya.

"Kita telah menubuhkan pasukan khas untuk mengenalpasti rumah yang daif dan uzur untuk diberi bantuan sewajarnya seperti membina rumah baru melalui Yayasan Bina Upaya (YBU) agar si penghuninya dapat hidup dalam keadaan lebih selesa," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah uzur Chai Wah Leong yang tinggal seorang diri di Kampung Baru Ampang sejak 10 tahun tahun lalu.

Lebih menyedihkan, rumah yang diduduki Wah Leong itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik yang sempurna manakala struktur rumah sudah reput hanya menanti masa untuk runtuh.

Sementara itu, Zambry mengumumkan sebuah rumah baru akan dibina untuk keselesaan Wah Leong yang dilengkapi dengan kemudahan asas agar beliau dapat hidup dengan ceria selepas ini.

Tambahnya, rumah lama akan dirobohkan dalam tempoh satu minggu dan kerja membina rumah baru akan dilaksanakan oleh YBU dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Tegasnya lagi, bantuan sama akan diberikan kepada keluarga Kan Long, 76, yang tinggal di Buntong bersama empat lagi ahli keluarganya.

"Selepas melawat rumahnya di Buntong, saya begitu sedih melihat keadaan rumah keluarga itu yang sebahagiannya berlantaikan tanah manakala dinding rumah juga sudah reput.

"Sehubungan itu, kita bersetuju untuk membina rumah baru yang selesa untuk Kan Long yang akan diuruskan oleh YBU juga," tambahnya lagi.

Pada lawatan itu, Zambry yang turut ditemani isterinya, Datin Saripah Zulkifli turut menyampaikan ang pau dan hamper kepada Wah Leong dan Kan Long sempena Tahun Baru Cina yang bakal diraikan masyarakat Cina esok.

Sementara itu, anak lelaki Kan Long, Yong Kam Sang, 54, berkata beliau begitu gembira kerana kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebuah rumah baru untuk keluarganya yang hidup dalam serba kekurangan.

Beliau yang tidak bekerja berkata, berita yang diumumkan sempena lawatan Dr Zambry itu amat dinanti-nantikan mereka sekeluarga yang berharap dapat mendiami rumah baru tidak lama lagi.

"Saya sekeluarga cukup gembira dengan kunjungan Menteri Besar ke rumah saya hari ini dan kami berharap sambutan Tahun Baru Cina tahun depan akan lebih meriah apabila dapat tinggal di rumah baru," katanya lagi.

Selain melawat kedua-dua keluarga itu, Zambry juga berkesempatan melawat keluarga Lee Siew Yong di Kampung Baru Ampang yang tinggal bersama ibunya di sebuah rumah sewa.

Rumah yang didiami rumah beranak itu sering dinaiki air apabila hujan lebat hingga memaksa mereka menumpang di rumah jiran terdekat.

"Bagi membantu keluarga Siew Yong, sistem perparitan di bahagian belakang rumah boleh diperbaiki selain membina tebing bagi mengelak air daripada memasuki rumah sewa mereka," katanya lagi.

PERAK TODAY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan