Isnin, 23 Januari 2012

Sambutan Tahun Baru Cina 2012-Kediaman Menteri Besar



Tahun Baru Cina 2012 yang dianggap sebagai tahun naga oleh masyarakat Cina dipercayai bakal membawa tuah dan perlu disambut dengan suasana meriah dan harmoni.

Naga dipercayai makhluk yang melambangkan kepimpinan jitu serta mempunyai keberanian luar biasa ternyata amat sinonim dengan kerajaan negeri Perak yang sentiasa bekerja keras demi menjaga kebajikan rakyat pelbagai kaum.

Sambutan yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pagi ini menyaksikan hampir 15,000 rakyat Perak membanjiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina semata-mata untuk meraikan perayaan utama bagi kaum Cina itu.

Menurut Zambry, tahun naga yang sinonim dengan kepercayaan dalam aspek panjang umur serta kepimpinan yang bekerja keras amat bertepatan sekali dengan usaha kerajaan negeri.

"Semua elemen ini penting untuk dalam usaha kita untuk mencapai perpaduan kaum, sekaligus melonjakkan pembangunan negeri dan setiap cabaran yang ditempuhi tahun ini pasti akan kita dapat diharungi," katanya.

Malah katanya, perayaan Tahun Baru Cina kali ini wajar dijadikan sebagai permulaan untuk memperkukuhkan lagi hubungan keluarga dengan mengadakan pertemuan atau menziarahi sanak saudara.

Katanya,tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka terus diadakan di merata-rata tempat dan turut disertai oleh pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Majlis yang bermula seawal jam 11 pagi itu turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah serta Raja Permaisuri Bainun.

Turut menceriakan majlis, Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah serta Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Perak berkenan menyempurnakan upacara "Yee Sang" iaitu hidangan utama pada sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama Zambry serta Exco Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Bagi masyarakat Cina, juadah Yee Sang dipercayai dapat membawa tuah.

Selain itu, rakyat pelbagai kaum turut dijamu dengan pelbagai juadah termasuk kuih bakul, kuih bangkit, sate dan makanan enak yang lain.

Sementara itu, persiapan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Sitiawan, Sabtu ini sedang giat dilakukan oleh kerajaan negeri.

More info go to Perak Today