Selasa, 7 Februari 2012

Projek Jalan Anak Kurau-Kamunting cetus limpahan ekonomi di Batu Kurau




Uploaded by ThePerakToday on Feb 6, 2012

Projek jalan raya menghubungkan Kampung Anak Kurau dengan Bukit Jana, dekat Kamunting akan membawa limpahan ekonomi di Daerah Larut Matang dan Selama apabila fasa pertama projek itu dijangka siap Januari tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata penduduk tempatan telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk menjayakan projek itu sejak 30 tahun lalu dan akhirnya impian mereka tercapai apabila RM8.5 juta diluluskan bagi membina jalan berkenaan.

"Melalui frasa pertama projek ini, kontraktor yang dilantik akan membina jalan sejauh 2.5 KM dengan kos RM8.5 juta yang diluluskan kerajaan Pusat.

"Secara keseluruhannya, projek Jalan Anak Kurau-Kamunting ini membabitkan kos kira-kira RM75 juta dan membabitkan laluan sejauh 11.5 KM," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek itu di Kampung Anak Kurau, dekat Batu Kurau, pagi ini.

Tambah Zambry lagi, apabila peruntukan seterusnya diterima, fasa kedua projek itu akan dilaksanakan untuk menghubungkan kawasan itu dengan Bukit Jana, dekat Kamunting.

"Tempoh perjalanan penduduk ke bandar Taiping juga dapat disingkatkan kepada 10 hingga 15 minit sahaja berbanding 45 minit ketika ini apabila Jalan Anak Kurau-Kamunting siap kelak," katanya lagi.

Sementara itu, Adun Batu Kurau, Datuk Kapten (B) Najmuddin Elias, berkata rakyat di situ amat berbesar hati apabila kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan RM130,000 untuk membina longkang di sekitar Kampung Anak Kurau dalam usaha mengatasi masalah banjir.

"Apabila hujan lebat, sering berlaku banjir di kampung ini hingga menyebabkan tebing berhampiran masjid kampung terhakis kerana longkang yang kecil tidak mampu menakung air lalu melimpah," katanya.

Selain itu, peruntukan RM60,000 juga diluluskan oleh Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin untuk membina semula titi yang rosak membabitkan tiga kampung di DUN Batu Kurau.

Tegasnya, lebih 100 penduduk terpaksa menggunakan titi untuk mengeluarkan hasil kebun seperti buah-buahan untuk dipasarkan ke pekan Batu Kurau atau Taiping.

"Kos membina setiap titi dianggarkan RM15,000 dan kita akan membina titi baru di Kampung Changkat Perah, Kampung Bendang Nering dan Kampung Pantai Besar Ijok," kata Najmuddin lagi.

Peruntukan RM70,000 juga diluluskan kepada Pusat Tahfiz Nurul Iman di Kampung Sepeneh bagi menampung kos pengurusan dan perbelanjaan harian pusat berkenaan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najmuddin menegaskan permohonan juga dikemukakan kepada kerajaan Pusat untuk mewujudkan Pusat Dalam Komuniti (PDK) di kawasan itu selain menaiktaraf pekan Batu Kurau yang selama ini dianggap sebagai pekan koboi.

Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, pula berkata penduduk tempatan tidak perlu bimbang atau gusar dengan projek itu yang didakwa akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi pekan Batu Kurau.

"Penduduk tidak perlu bimbang kerana jalan baru ini akan membuka lembaran baru kepada perkembangan ekonomi dan sosial di kawasan Batu Kurau dan sekitarnya," katanya.

PERAK TODAY

 http://taipingmali.blogspot.com/2010/03/penduduk-anak-kurau-rindukan-jalanraya.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan