02/12/2008
Ada seorang pelajar, bernama Baha (bukan nama sebenar) seorang budak kampung datang dari Utara. Mula-mala saya tak perasan, sebab tersorok celah-celah 200 pelajar lain. Hari demi hari bulan demi bulan saya mula mengingat nama semua pelajar . Baha budak kebanyakan. Sama seperti pelajar-pelajar lain. Dia tak berapa bijak. Markah tidak tinggi, sederhana sahaja.
Seorang pendiam, muka kampung, hitam berkilat, kaki penuh parut. Jarang –jarang bertemu dengan saya, mungkin dia takut, malu atau benci kepada saya. Saya pun kurang pasti..
Saya mula perasan Baha bila saya nampak budak laki pada kolar baju berlapis sapu tangan. Saya teringat semasa saya kecil dulu pun ada berbuat demikian. Bukan apa , tak mahu bagi kolar baju berdaki. Mula-mula saya nak tergelak. Tapi lama-lama saya mulai beri perhatian kepada si Baha ini.
Lama-lama saya juga banyak perasan sifat-sifat dan ketrampilan dia. Sah, saya pasti Baha hanya ada dua helai baju sahaja. Dalam seminggu itu dia akan ulang-ulang pakai dua baju yang sama. Samada baju kemeja kelabu cair taik anjing yang dah terlalu lusuh dan koyak sikit kat lubang butang lengan kanan atau baju T putih yang ada iklan minuman dan pastinya baju dapat free.
Walau nampak daif, Baha sentiasa kemas dan berusaha (dengan kolar berlapis takut berdaki) sedaya upaya untuk nampak stail. Baju sentiasa masuk dalam. Seluar slack hijau warna unifom sekolah menengah (memang seluar sekolah menengah pun) dan dua helai lagi seluar jean tak branded . Kasut Baha hanya sepasang. Kasut kulit (atau PVC) hitam, lusuh dan terngaga sikit tapak depan belah kanan.
Hari-hari berjalan kaki dari asrama panjat bukit UiTM, saya perasan nganga tapak kasut Baha makin besar tetapi dalam serba kedaifan, Baha tak sekelit pun nampak menyesali atau merana dengan kekurangan nya, jauh lagi mengharap simpati.
Dia bercampur gaul dengan pelajar-pelajar lain seperti biasa . Baha tak pernah ponteng kelas. Walau tak berapa pandai, dia rajin. Jarang bertanya soalan. Banyak menghabiskan masa di perpustakaan saya dimaklumkan, tetapi pelik tak pandai-pandai.
Minat saya memerhati kan si Baha, semakin mendalam sampai satu hari saya buat ujian untuk mendapat beberapa kepastian. Saya menyuruh pelajar saya buat kerja rumah yang berganda.
Saya suruh buat latihan melukis secara drill iaitu berterusan. Kena guna banyak kertas lukisan. Esok saya suruh hantar. Pagi-pagi lagi atas meja bertindan sketch book. Seorang ada yang hantar tiga, empat sketch book yang mereka kampuh menjadi satu. Bermakna mereka terpaksa membeli banyak sketch book.
Hasil kerja Baha TAK ADA. Puas saya mencari tak juga jumpa. Tak mengapa. Saya relek dulu dan terus masuk kelas.
Dalam minda atau kepala otak saya memikirkan kenapa budak Baha ini tak menghantar kerja. Walau saya mempunyai andaian tapi saya tak buka langsung cerita tugasan yang saya beri, seolah-olah saya tak ada masa nak cek.
Petang tu sebelum tutup pejabat saya memeriksa sekali lagi, terjumpa satu sketch book bertulis Baha bin Sipolan di atas meja saya . Sketch book tu lain dari yang lain. Saya meneliti betul-betul, rupanya dia buat sendiri sketch book tu dari kertas SURAT KHABAR lama.
Baha semakin hari saya perasan macam mengelakkan diri dari saya. Saya buat tak faham sahaja takut dia suspek saya memerhati gerak geri dia.
Seperti biasa dari jauh saya nampak dia ceria dan bersemangat dikalangan kawan-kawan. Sesekali saya merapat meja dia, saya nampak koyak kasut dia dah dililit dengan selepin tape. Koyak di lengan kanan semakin luas. Tuala sapu tangan dikolar tetap maintain. Seluar jean tanpa brand, bersih tak setitik ada kesan cat pun tumpah. Baha memang stail , tapi hari itu saya rasa sebak. Tak sampai hati saya melihat dia serba kekurangan.
Balik rumah, selepas makan malam, saya bercerita kisah Baha kepada isteri saya. Terkedu juga isteri saya.
Hari Ahad itu saya mengemas almari, saya kumpul baju-baju lama dan seluar saya yang saya dah tak pakai (yg masih elok sangat2) Lalu saya minta isteri saya lipat elok-elok dan masukkan ke dalam beg plastik. Saya ada sepasang kasut kulit yang jarang-jarang saya pakai kerana agak sendat pun saya masukkan dalam beg tersebut. Saya nak bagi kepada Baha .
Hari Isnin saya bawa beg plastik itu masuk pejabat saya .sambil memikir bagaimana nak menyerahkan beg tersebut kepada Baha. Takut Baha malu nak terima. Takut dia menolak kerana tak mahu simpati dan empati.
Akhirnya saya memanggil Baha masuk kebilik saya . Saya memulakan cerita lain dahulu. Cerita hal buku sketch book yang dia hantar lewat itu.
Dia minta maaf lewat kerana sketch book dia tak kering lagi pagi itu. Rupanya Baha pergi kutip surat khabar lama di library, dia sapu cat putih (emulsion) bagi jadi kertas putih untuk dia buat lukisan. Tiap muka surat dipotong empat, dikampoh jadi buku lukisan. Cat itu agak lambat nak kering. Jadi dia bantai lukis atas kertas yang lembab.
Memang lah tak menarik , tapi dalam hati saya , ini lah hasil kerja yang paling saya teruja. Kenapa? Dalam situasi kritikal, Baha berupaya menyahut cabaran dengan penyelesaian tugas yang amat kreatif, inovatif dan sensitif.
Walaupun lukisan beliau tak berapa menjadi (sebab permukaan lembab), tapi saya cukup terpikat. Tak sedikit pun Baha mengisyaratkan alasan tak dak duit nak beli sketch book.
Baha memang bergaya. Saya tahu dia tidak berduit. Dia rajin ke library kerana di situ saja ada mesin water-cooler. Baha tak pernah merungut, tak pernah mengeluh.
Sebelum Baha keluar bilik saya, dengan bersahaja saya buka cerita fasal baju-baju saya yang dah tak boleh pakai dan niat saya nak sedekah kepada Baha. Sambil saya menghulur beg plastik putih. Baha seperti tergamam. Malu-malu dan tergagap-gagap sedikit semasa mengucapkan terima kasih tapi dia tidak memandang muka saya.
Saya tak kisah, saya tahu Baha segan dan mungkin sebak. Selepas itu saya termangu seorang diri dalam pejabat saya mengenang kan nasib Baha. Lega tiba-tiba. Tak tahu kenapa terasa seperti menang perang Badar.
Esok pagi-pagi saya tak sabar untuk melihat Baha tetapi saya kena buat biasa slumber relek. Jangan nampak sangat, takut Baha malu dan segan. Dari jauh saya nampak kelibat Baha turun bukit jalan kaki. Rupanya tak berubah. Baju seluar dan kasut yang sama. Mungkin dia tak sempat nak pakai pakaian yang hamba bagi semalam. Tak mengapa.
Saya tunggu esok bagaimana ? Esoknya Baha datang kuliah berpakaian yang sama. Tak berubah langsung. Saya musykil dan hairan kenapa ? . Dia tak sudi kah? Malu nak pakai kah?. Memandang kan cuti awal semesta dah nak bermula, (cuti seminggu ja) mungkin Baha nak pakai lepas cuti agaknya kot saya mengagak lah. Mungkin dia nak nampak lain sempena buka cuti, andaian saya sahaja. Tak kan kasut saya tak muat kot atau seluar slack saya bagi tak boleh pakai. Saiz dia dengan saiz saya tak lah berbeza sangat walau dia muda tapi badan saiz lebih kurang saya.
Lalu cuti awal semester pun bermula.
Cuti awal semester berakhir.
Pelajar-pelajar mulai masuk kelas semula. Mata saya melilau mencari Baha yang berwajah baru.
Anda tahu apa jadi?...... Baha masih berwajah dulu. Baju kemeja kelabu tahi anjing yang sama. Koyak di lengan berjahit rapi dah. Kasut kulit koyak dah digam rapat ,tak pakai selepin tape dah.
Kemusykilan mencuit benak minda saya . Tak boleh jadi nih.
Petang itu sebelum balik saya panggil Baha masuk pejabat saya. Saya bertanya mengapa dia tak pakai pakaian yang saya bagi dulu? Tak muat ka? Tak sudi ka?.
Baha gagap lagi, tapi dia cepat-cepat menjawab. Memang dia berkenan sangat pakaian itu, berterima kasih sebanyaknya kepada saya , dalam serak-serak Baha berkata pakaian itu dia bagi kat abang dia di kampung, sebab abang dia nak pergi interview kerja. Abang dia lebih memerlukan dari dia.
Saya terdiam. Sebak dalam hati tak terperi. BAHA MEMANG HEBAT.
catatan seorang pensyarah